Maklumat disebar di media sosial kini menjadi isu yang semakin membimbangkan apabila ramai pengguna cenderung berkongsi sesuatu tanpa menyemak kesahihan sumber.
Kementerian Komunikasi mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan belum disahkan berkaitan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir lapor Astro Awani.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) memberi kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya ambil maklum kenyataan yang dibuat oleh pihak AGC dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
“Kedua-dua telah memberi peringatan kerana banyak sebaran yang kita tidak boleh sahkan dan kita perlu serahkan kepada pihak berkuasa.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa sekiranya ada mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini, perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan, tidak ada sesiapa akan dilindungi.
“Kita perlu berwaspada supaya apa-apa maklumat yang kita terima melalui media sosial itu kadangkala tidak boleh disahkan, sama ada ia asli (genuine) atau tidak,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Tegas Fahmi, orang ramai perlu menaruh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan adil dan saksama tanpa melindungi sesiapa.
“Kita serah kepada pihak berkuasa. Jabatan Peguam Negara juga telah memaklumkan beberapa perkara yang pihak PDRM perlu susuli sebelum kertas siasatan lengkap untuk diambil tindakan lanjut.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang bertanggungjawab, kita sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan untuk bawa mereka ke muda pengadilan.
“Peringatan saya, jangan menyebarkan kandungan yang tidak boleh disahkan,” ujarnya.