Kesilapan grafik KPN: PMO bertegas kebebasan media perlu diiringi tanggungjawab

Oleh KIM SYAZIE

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menegaskan pendirian Kerajaan MADANI dalam menjunjung kebebasan media, namun mengingatkan bahawa kebebasan itu mesti diiringi dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.

Dalam taklimat harian disampaikan Setiausaha Politik PM, Tunku Nashrul Abaidah, PMO menzahirkan kebimbangan terhadap kekhilafan editorial yang mengaitkan Ketua Polis Negara dengan aktiviti kepartian politik.

“Saya mulakan taklimat Pejabat Perdana Menteri dengan menyatakan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa menghormati kebebasan media sebagai antara tiang seri demokrasi.

“Namun, kebebasan tanpa disiplin hanya menjauhkan kita dari kebenaran,” katanya.

Menurut PMO, insiden grafik yang tular itu adalah contoh jelas bagaimana kecuaian dalam penyuntingan boleh menjejaskan integriti institusi penting negara.

“Merujuk kepada grafik sebuah portal berita terkemuka yang tular, seolah-olah mengaitkan Ketua Polis Negara dengan aktiviti kepartian politik adalah contoh jelas bagaimana kekhilafan editorial boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam,” tegas kenyataan itu.

PMO turut menyatakan dua perkara utama:

1. Pengurusan media tidak boleh lepas tangan; proses semak fakta (fact-checking) mesti diperkukuh agar kepercayaan rakyat tidak terhakis.

2. Tuduhan melulu terhadap penjawat awam, khususnya pasukan polis, adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan moral serta keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang.

Baca juga: PM pesan jangan buang pelajar terlibat bakar karikatur – Zambry