Ketua Pemuda Bersatu tarik kerusi roda dari bawah buat warganet ketawa

Oleh ARIF ATAN

Rata-rata warganet menyindir Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dilihat menarik sebuah kerusi roda dari bawah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Dia (Fayhsal) tarik gais, bukan sorong. PRN Melaka punya pasal,” kata pengguna Facebook, Razeef Rakimin yang turut berkongsikan video TikTok menunjukkan aksi Fayhsal itu.

Hantaran Razeef di media sosial itu kemudiannya dikongsi laman Facebook Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) dengan hanya kira-kira sejam dimuat naik sudah meraih lebih 400 komentar dan puluhan perkongsian.

“Nasib dia (Fayhsal) tarik saja. Buatnya dia angkat mahu kena serangan jantung pesakit tu,” kata Ridz Wan.

Ada juga membangkitkan kewajaran merakam video aksi Fayhsal itu selain sudah semestinya meraih simpati undi.

“Memang kena rakam ke? Baguslah, rakam kebodohan sendiri senang orang undi,” perli Amirul Yp manakala Abu Humaira menulis, “Puak ni datang pilihan raya depa punya lakonan memang menjadi.”

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.