Ketua Pemuda Umno pula cadang kerajaan perpaduan agar negara stabil

Oleh BORHAN AHMAD

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dasuki pula mencadangkan kerajaan perpaduan dibentuk selepas perletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dengan dipimpin seorang perdana menteri interim yang tidak kontroversi.

“Demi menurunkan suhu politik dalam negara dan memfokuskan usaha menangani Covid-19 serta kebajikan rakyat yang merana, maka dicadangkan seperti berikut:

“Dilantik seorang Perdana Menteri Interim yang tidak kontroversi, tidak dianggap ancaman kepada sesiapa dan tiada ada cita-cita politik untuk bunuh pesaing-pesaing politiknya atau membina political war-chess,” kata Asyraf pagi ini.

Cadangan ini dikemukakan beliau andainya Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan pagi ini, setelah hilang majoriti sokongan sebagaimana dikehendaki Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Johari Ghani juga membuat cadangan yang sama.

“Maka kuasa melantik perdana menteri baharu terletak sepenuhnya di tangan YDP Agong menurut Perkara 40 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Perdana Menteri Interim ini, katanya, boleh mewujudkan ‘War Cabinet’ atau sebuah kabinet berfokus sepertimana pengalaman UK dalam beberapa peristiwa besar untuk melawan pandemik penyakit kaki dan kuku, ‘Brexit’, Perang Dunia di zaman Winston Churchill dan Perang Falklands di zaman Margaret Thatcher.

“War Cabinet bagaikan sebuah kerajaan perpaduan  atau ‘unity government’ bersifat inklusif, terdiri daripada wakil-wakil semua parti utama tidak kira kerajaan atau pembangkang,” kata beliau.

Fokus kepada hanya 3 perkara utama:

  1. Menangani Covid-19 dan Mempercepatkan Vaksinasi agar negara segera capai imuniti kelompok.
  2. Menstabilkan ekonomi
  3. Membantu kebajikan rakyat yang kesempitan ketika ini (termasuk #TuntutanRakyat)

Kabinet ini pula, kata beliau, dikecilkan daripada 70 menteri dan timbalan menteri seperti yang ada dalam Kerajaan PN sekarang (tak tahu efektif atau tidak?) kepada hanya beberapa atau maksimum 10-15 Menteri Koordinator.

Kerajaan Interim, katanya, hanya untuk tempoh sehingga imuniti berkelompok tercapai iaitu lebih 90% rakyat divaksin. Sasaran antara 6-9 bulan.

“Jika imuniti kelompok berjaya dicapai, PM Interim mesti menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen bagi diserahkan mandat kembali kepda rakyat untuk diadakan PRU-15,” cadang beliau.

Bagi beliau, Kerajaan Interim boleh meredakan suhu politik dengan semua parti mengambil bahagian penting dalam usaha menangani Covid-19, sekaligus wujud Gencatan Senjata Politik (Political Ceasefire) yang sebenar.

“Ini kerana matlamat akhir selepas 6 bulan dan setelah berjaya mencapai imuniti kelompok, PRU-15 boleh diadakan,” katanya.

Sepanjang Kerajaan Interim Perpaduan ini;

  • tidak ada lagi aktiviti ‘horse trading’ (jual beli @ sogokan Ahli Parlimen dan orang politik).
  • Tidak ada lagi aktiviti persaingan sengit dengan kecenderungan penguasa menggunakan kaedah ‘knife, pen and cheque book’, ugutan dan tawaran untuk melemahkan pesaing di kalangan parti-parti lawan.
  • Semua parti bekerjasama fokus COVID-19 bukan membina ‘war chess’ sepanjang dalam kerajaan.
  • Political Ceasefire untuk seketika sehingga PRU-15.

Mahiaddin dijangka melepaskan jawatannya pagi ini dan Yang Dipertuan Agong berhak melantik seorang perdana menteri yang diyakini baginda mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Baginda menitahkan agar sebuah kerajaan yang stabil dibentuk bagi menghadapi Covid-19 yang kini membunuh 12, 510 mangsa sehingga semalam.

Sehingga kini jumlah yang terkena virus ini adalah melebihi 1.4 juta orang di negara ini.