“Rindu yang tidak berpenghujung”, mungkin itu adalah perasaan dialami oleh penyanyi terkenal iaitu Khai Bahar sejak menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran insan bergelar ibu di sisi.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform TikTok, Khai mengakui kuah kacang buatan ibunya, Allahyarham Rosnah Mohamad merupakan juadah raya yang paling dirindukannya.
Hal ini kerana juadah tersebut turut menyimpan memori istimewa ketika menyambut lebaran di mana Khai sering membantu ibu tercintanya di dapur untuk menyiapkan kuah kacang berkenaan.
Namun kerinduan penyanyi berusia 31 tahun itu akhirnya sedikit terubat apabila kakaknya mengambil keputusan untuk turut menyediakan hidangan tersebut di hari raya baru-baru ini.
Khai turut berkongsikan rakaman ketika dirinya diminta untuk menjamah hidangan berkenaan di mana pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu tidak dapat menahan sebak sebelum menitiskan air mata.
Mana tidaknya, rasa kuah kacang yang disediakan oleh kakaknya itu tidak jauh berbeza daripada masakan ibu mereka sehingga membuatkan Khai terharu sekali gus mengubati kerinduannya.
“Benda paling Khai tak boleh lupa masa raya adalah kuah kacang mak. Memang wajib ada kuah kacang. Masa kecil dahulu, Khai selalu akan tolong mak kacau kuah kacang dalam kuali.
“Alhamdulillah, malam tadi kakak buat SEBIJI rasa macam mak buat. Patutlah dia teruja nak Khai rasa kuah kacang yang dia buat. Sumpah sama macam MAK buat,” katanya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, ibu Khai meninggal dunia di dalam tidur di kediaman mereka di Kangar, Perlis pada 2 Januari tahun lalu akibat penyakit buah pinggang, masalah jantung dan paru-paru.
Pelantun lagu Bayang itu sememangnya memiliki hubungan yang rapat dengan ibunya malah turut membantu menjaga ketika wanita itu masih hidup meskipun mempunyai jadual kerja padat.

Baca juga: Pemuda ini kongsi kenapa orang pencen jangan sesekali buka restoran, alasannya memang logik