Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan diberi tugas lain dalam Pas khususnya dalam portfolio ekonomi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata hal itu sesuai dengan kepakaran Khairuddin dalam bidang itu.
Beliau menegaskan pengguguran Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu daripada Jawatankuasa Pas Pusat tidak akan menimbulkan konflik dalaman parti.
Jelasnya, walaupun Dr Khairuddin mempunyai prestasi yang cemerlang ketika menjawat menteri, disiplin tetap menjadi keutamaan Pas.
Tambah Tuan Ibrahim, pengguguran mana-mana tokoh parti dan pemimpin adalah perkara biasa dalam Pas berdasarkan pelbagai faktor.
“Pas sangat tegas dalam pematuhan disiplin di mana siapa yang tidak ikut disiplin boleh ditukarkan jawatan dan bertugas di tempat lain, digantung keahlian serta boleh dipecat,” dipetik BH hari ini.
Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula menduduki ahli jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 selepas tewas pada pemilihan pada muktamar parti itu ke-67 November tahun lalu.