Khairul Aming dedah kos R&D Rendang Nyet cecah RM1 juta, ribuan kilo ayam terpaksa dibuang!

Oleh WAN SITI AMINAH

Kejayaan usahawan muda, Khairul Aming mencipta rekod dengan meraih jualan sebanyak RM1.8 juta dalam tempoh kurang dari dua minit untuk produk Rendang Nyet Berapi baru-baru ini bukan perkara yang mudah untuk digapai.

Malah Khairul Aming yang turut bergelar pempengaruh itu juga perlu mengeluarkan perbelanjaan cukup besar serta menanggung kerugian sebelum pelancaran produk makanan keluaran terbaharunya dapat dilakukan.

Menerusi perkongsian dalam satu sesi siaran langsung di platform TikTok, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu mengakui terpaksa membuang ribuan kilo ayam yang sudah rosak dalam penghasilan rendang.

Pembuangan itu sememangnya tidak dapat dielakkan dan sudah termasuk kos yang perlu ditanggung dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk penghasilan produk berkualiti buat pelanggan.

Menurut usahawan berusia 33 tahun itu, perkara tersebut bukanlah satu pembaziran sebaliknya masalah yang pada umumnya sering dialami oleh pengeluar produk terutama dalam penghasilan makanan siap saji.

“Ayam yang saya buang semasa proses R&D itu mencecah beribu-ribu kilogram (kg). Saya betul-betul cerewet dari segi R&D dan kualiti. Kalau pekerja saya telefon beritahu rendang cair atau warna ayam tak elok, lapan kawah pun buang.

“Memang akan ada yang kata saya membazir, sebenarnya tidak. Ia adalah sebahagian daripada kos R&D. Takkan saya nak beri ayam yang hancur atau basi dekat orang. Kalau tak buat begitu dan proses ini dilakukan dengan cincai, saya pula dikira menganiaya orang.

“Tak berkat nanti. Daripada segi latihan, saya akan berikan ruang untuk pekerja melakukan kesilapan dalam lima ke lapan kawah. Biarlah rendang itu cair atau hangus, janji mereka dapat belajar daripada kesilapan,” kongsi Khairul Aming dalam siaran langsung tersebut.

Dalam perkongsian sama, usahawan kelahiran Kelantan itu turut mendedahkan beberapa cabaran harus dilaluinya sebelum produk dipasarkan kepada pelanggan termasuk mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Kerugian berlaku apabila terdapat kerosakan pada bahan utama rendang pada peringkat awal penghasilan produk selain gangguan ketika operasi pembungkusan makanan apabila tulang ayam tersangkut di gear mesin retort.

“Pernah pembekal hantar ayam elok sahaja. Tetapi apabila nak masak, ayam jadi berlendir dan rendang pula berbuih. Saya terpaksa buang dalam 70 kawah dan kami rugi pada hari itu hampir mencecah RM150,000. Kejadian ini berlaku sehari sebelum pelancaran produk.

“Malah seminggu sebelum itu, ada serpihan tulang ayam tersangkut dekat gear mesin retort. Rendang yang belum diproses lagi ada dalam 35 kawah. Tetapi akhirnya semua basi. Kerugian ketika itu dalam RM70,000 ke RM80,000. Kerugian dari segi pengeluaran juga ada.

“Sebab saya terpaksa kurangkan pengeluaran Dendeng dan Sambal Nyet. Nak dekat RM1 juta juga kos R&D dan lain-lain. Tetapi pada saya, itu bukan masalah. Insya-Allah, dalam minggu depan sudah boleh balik modal. Perkara yang penting adalah kualiti.” Ujarnya.

Perkara tersebut didedahkan Khairul Aming dalam satu sesi siaran langsung yang sempat dirakam oleh salah seorang penonton sebelum sedutan rakaman tiga minit 53 saat itu dimuat naik semula di platform TikTok.

@khairulamingfans_

From burn out to sold out 🥹 Semua nampak manisnya kejayaan, tapi tak semua sanggup hadap penatnya nak sampai ke situ 😮‍💨 @Khairulaming #khairulaming #khairulamingfans #rendangnyetberapi #teamKA #walaming

♬ original sound – Fans KhairulAming – Fans KhairulAming

Baca juga: Tengku Nadhirah Zahrah ‘steal the show’ di KLFW 2025, penampilan buat netizen terpukau