Khairul Aming nafi tapis pekerja ikut bangsa, jelas punca ramai kakitangan Melayu

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyangka restoran miliknya iaitu Rembayung hanya mengambil pekerja berbangsa Melayu.

Menerusi satu sesi siaran langsung dilakukan di platform TikTok, usahawan terbabit menjelaskan bahawa syarikat miliknya tidak pernah meletakkan sebarang syarat terutamanya berkaitan bangsa pemohon.

Sebaliknya ketika membuka tawaran kerja, mereka hanya menyenaraikan jawatan yang kosong seperti ‘kitchen crew’, ‘servis crew’, barista dan sebagainya tanpa meletakkan syarat tertentu.

Mereka juga mengalu-alukan semua calon tanpa mengira latar belakang namun kebanyakkan resume yang diterima untuk memohon kekosongan kerja itu datang daripada pemohon berbangsa Melayu.

“Saya tidak menetapkan apa-apa syarat. Saya cuma kata ada kekosongan kerja sahaja. Tetapi yang hantar resume itu kebanyakannya adalah pekerja Melayu. Jadi saya perlu buat macam mana lagi?

“Tak akan saya hendak paksa dengan menetapkan setiap bangsa mesti diambil mengikut nisbah tertentu. Perkara itu tidak pernah ada. Sebaliknya saya mengalu-alukan semua orang.

“Sesiapa yang mohon, saya tidak tapis mengikut bangsa. Saya temu duga mereka semua mengikut merit masing-masing,” jelasnya dalam siaran langsung yang sempat dirakam sebelum dimuat naik semula di platform Threads itu.

Dalam perkongsian yang sama, Khairul Aming mengakui syarikatnya juga pernah menerima permohonan kerja dari pemohon bukan Melayu namun tawaran tersebut ditolak atas sebab peribadi.

Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu sekali lagi menegaskan bahawa mereka menyambut semua orang dengan baik selain tidak mahu dikaitkan dengan mentaliti sedemikian.

“Pemohon ada yang bukan Melayu. Malah dia juga sudah dapat kerja itu. Saya beri dia kekosongan. Tetapi calon itu terpaksa tolak sebab perlu bekerja secepat mungkin. Sedangkan tarikh pembukaan restoran lambat lagi.

“Tidak mengapa, sekurang-kurangnya kita sudah tawar pekerjaan kepadanya. Saya tidak kisah pun. Tak nak ada mentaliti itu, ini. Saya mengalu-alukan semua. Resume yang masuk, saya terima sahaja.” Ujarnya lagi dalam rakaman itu.

Baca juga: Haram beri review palsu pada makanan atau servis – Dr. Rozaimi Ramle