Khas buat burung hantu, ini mi segera ‘tahan mengantuk’ pertama di dunia – Mengandungi kafein!

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah syarikat pengeluar makanan ringan terkenal telah berjaya menyita perhatian ramai selepas melancarkan produk mi segera yang mengandungi kafein.

Boleh dijadikan sebagai alternatif kepada air kopi atau minuman bertenaga, mi segera ini dipasarkan khusus buat pelanggan yang suka berjaga di malam hari.

Syarikat berkenaan mendakwa, pelanggan yang menyantap mi segera itu boleh meneruskan aktiviti di waktu malam sambil memastikan mereka perut kenyang.

Hal ini kerana, produk tersebut mengandungi bahan seperti Kafein dan Arginin iaitu sejenis amino asid yang boleh meransang badan manusia untuk mengeluarkan protein.

Mi segera berkafein ini juga dikatakan mengandungi Niacin iaitu vitamin B yang membantu badan memproses makanan dan menukarkannya kepada tenaga.

Namun begitu, syarikat makanan segera daripada Jepun itu akan mula menjual produk tersebut di pasaran tempatan terlebih dahulu iaitu pada 18 September ini.

Difahamkan, pelanggan yang membeli mi segera ‘goreng’ berkafein itu akan mendapatkan soba (mi Jepun) kering bersama perasa lada hitam, bawang dan sos kicap.

Memetik laporan CNN Business, syarikat pengeluar mi segera itu menyasarkan peminat permainan video yang berjaga lewat malam sebagai pelanggan utama mereka.

“Industri permainan video di Jepun semakin meningkat dari tahun ke tahun, terutamanya di kalangan golongan muda. Peningkatan itu dikatakan telah melepasi jumlah 50 juta.

“Untuk memenuhi permintaan ini, kami melancarkan produk baharu ‘mesra pemain’ buat pertama kali dalam sejarah daripada jenama utama syarikat iaitu Cup Noodles dan Nissin Curry Meshi,” katanya.

Selain mi, syarikat tersebut turut mengeluarkan nasi segera berkafein berperisa kari keema halia yang menggunakan ‘base’ daging babi dan juga sayuran.

Mi segera goreng atau lebih dikenali dengan nama Yakisoba itu akan dijual pada harga 280 yen (RM8.89), manakala nasi berperisa kari pula berharga 298 yen (RM9.47).

Kedua-dua produk itu didatangkan tanpa kuah sup, jadi pelanggan tidak perlu khuatir kerana tangan atau persekitaran mereka tidak akan kotor.

Baca juga: Guna ‘rice wine’ dalam masakan, premis nasi ayam claypot ditutup, rupanya tiada sijil halal