Usahawan dan pempengaruh media sosial, Kieda Crepe akhirnya dapat menarik nafas lega apabila barang kemas bernilai RM800,000 miliknya yang dilarikan perompak bakal dikembalikan tidak lama lagi.
Hal ini berikutan sekumpulan perompak yang memecah masuk kediamannya di Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 25 April tahun lalu itu membuat pengakuan bersalah di mahkamah atas kesalahan dilakukan mereka.
Menurut Kieda, pengakuan itu dilakukan oleh penjenayah terbabit pada 28 Januari lalu sebelum kes dibicarakan di mana mereka dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda sebanyak RM20,000 setiap seorang.
Perkara itu didedahkan oleh Kieda atau nama sebenarnya, Siti Nur Khalieda Yusra menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun TikTok milik ahli perniagaan berkenaan, baru-baru ini.
“Pihak polis hubungi saya maklumkan, OKT (Orang Kena Tuduh) yang memecah masuk rumah saya hari itu nak mengaku bersalah. Mereka (OKT) kemudian dijatuhkan hukuman empat tahun penjara.
“Mereka juga didenda sebanyak RM20,000 setiap seorang. Andai kata mereka tidak membuat bayaran sebanyak RM20,000 tersebut, hukuman penjara akan bertambah lagi selama lapan bulan,” katanya.
Dalam perkongsian sama, usahawan makanan berkenaan memberitahu bahawa barangan kemas dilarikan oleh perompak terbabit akan dikembalikan semula kepadanya termasuklah perhiasan yang telah dileburkan.
Kieda juga sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menyelesaikan kesnya selepas hampir setahun menanti keadilan termasuk mereka yang mendoakannya.
“Barang-barang kemas saya akan dapat semula. Manakala barangan yang sudah dileburkan akan dibuat tuntutan melalui resit di mana kedai emas perlu kembalikan dalam bentuk jongkong emas kepada saya.
“Kepada semua pihak yang mendoakan supaya kes ini dipermudahkan, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kalian,” ujar pempengaruh berkenaan dalam perkongsian itu.
Terdahulu, Kieda Crepe mendedahkan dirinya mengalami kerugian kira-kira RM800,000 selepas peti besi miliknya yang mengandungi barangan kemas dilarikan perompak selepas memecah masuk rumahnya pada 25 April 2024.
Suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 28 tahun itu kemudian ditahan oleh pihak polis pada 6 Jun 2024 di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Baca juga: Kenapa duit dolar Amerika tetap jadi mata wang dunia walau tengah krisis ekonomi? Ini sebabnya