Seorang individu yang menggunakan gelaran ‘kiyai’ tergamak memperdaya orang ramai apabila membuat promosi kononnya mampu menarik duit dari alam ghaib yang dikatakanya sebagai sah dan halal di sisi Islam.
Modus operandi kiyai ini dilakukan melalui aplikasi Telegram, di mana bentuk permesejan sentiasa menggunakan ayat-ayat keagamaan untuk meyakinkan mangsa.
Melalui semakan Malaysia Dateline, ada satu laman kumpulan yang agak aktif menjalankan kegiatan tersebut.
Kumpulan ini didakwa menawarkan perkhidmatan wang ajaib, ilmu santet, dan ‘transfer janin’ yang tidak dapat dipastikan apakah maksudnya.
Sementara itu memetik laporan Harian Metro, seorang suri rumah berusia 50-an kerugian RM15,000 selepas terpedaya dengan helah suspek yang kononnya menawarkan perkhidmatan itu dengan menjanjikan pulangan lumayan mencecah RM50,000
“Mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan yang dipromosi lelaki terbabit dan dia terus menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum dia ditawarkan beberapa pakej untuk menarik wang.
“Mangsa kemudian memilih pakej paling murah dan kemudian memindahkan wangnya ke akaun Western Union yang diberikan suspek sebanyak beberapa kali sejak awal bulan lalu mencecah RM15,000,” kata sumber memetik Harian Metro.
Sumber berkata, hasil pembayaran itu juga kononnya akan disalurkan sebagai bayaran zakat dan anak yatim sebagai langkah untuk proses menarik wang itu berjaya.
“Namun selepas memindahkan wang itu, mangsa mula berasa curiga selepas masih tidak memperoleh wang dijanjikan sebaliknya lelaki itu berterusan meminta wang daripadanya.
“Wanita itu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi Ahad lalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan menerima laporan dibuat oleh mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Baca juga: Netizen puas hati tengok “pak guard” kunci motosikal polis sebab parkir di petak OKU