Pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) bakal menikmati bonus kemenangan jika mampu mengalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad, berkata insentif tersebut sebagai suntikan semangat buat skuad Warga Kota di pentas akhir nanti.
“Kita memang menjanjikan bonus kepada semua pemain jika mencapai kemenangan sebagai juara Piala Malaysia ke-100 itu, satu pencapaian yang mengatasi segala harapan kita sebelum ini.
“Hadiah ini kita akan bagi kepada pemain sebagai bonus dan saya yakin penaja juga akan memberi imbuhan kepada pemain.
“Jumlah kita tidak perlu sebut kerana bukan pasal apa, pasal malu banding dengan bonus yang JDT berikan,” katanya pada sidang media khas di Stadium Bolasepak KL, Cheras, semalam.
Skuad bimbingan Bojan Hodak mara ke final buat pertama kali selepas 32 tahun.