Sebanyak RM24,000 kompaun dikeluarkan kepada dua penganjur aktiviti berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana gagal memastikan pematuhan penjarakan fizikal individu yang menghadiri program berkenaan.
Kompaun pertama berjumlah RM20,000 diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang turut membabitkan kehadiran Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kompaun kedua pula sebanyak RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri oleh Datuk Seri Najib Razak.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini berkata, kompaun itu dikeluarkan berdasarkan pemantauan dan siasatan yang dijalankan oleh pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan hasil siasatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati bahawa tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan PRN Melaka diadakan, namun ia hanyalah lawatan yang lebih berbentuk ‘walkabout’ oleh dua individu terbabit.
Dalam pada itu, KKM berkata, pihaknya dan JKN Melaka akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau pematuhan SOP khususnya menjelang PRN Melaka, sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.
“KKM tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“KKM menasihatkan supaya semua lapisan masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini,” kata KKM lagi.