KPDN dalam perbincangan beri insentif kepada pengusaha sedia Menu Rahmah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemberian insentif kepada pengusaha kedai makan dan restoran yang menyediakan hidangan Menu Rahmah kepada pelanggan sedang dalam perbincangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat awal dan bentuk pemberian insentif belum diputuskan.

“Setakat ini kita belum umumkan insentif, tetapi perkara itu sedang dibincangkan, mungkin (contohnya) kedai mamak yang memerlukan pekerja untuk memasak, dari segi itu kita akan bantu untuk dapatkan tambahan pekerja.

“Kita belum meletakkan sebarang nilai fiskal dalam insentif itu, tetapi setakat ini, inisiatif Menu Rahmah adalah sukarela yang pengusaha dapat bersama-sama membangunkan ekosistem yang memahami masalah dihadapi rakyat dalam menangani kos sara hidup,” katanya pada sidang media selepas program Jalan-Jalan Cari Makan Menu Rahmah di Nasi Kandar KM Maju di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemberian insentif kepada pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah.

Fuziah berkata KPDN juga bersedia untuk berunding dan membantu pengusaha yang ingin menyediakan Menu Rahmah dari segi mendapatkan bekalan bahan mentah.

Baca Artikel Penuh