Belum reda kes kematian lima ekor kucing yang didakwa dibunuh di Universiti Malaya (UM), seekor lagi bangkai haiwan berkenaan ditemui tidak bernyawa di Pusat Sukan di institusi pendidikan itu.
Penemuan yang menggemparkan itu dimaklumkan oleh Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform media sosial Instagram, semalam.
Menurut Presiden KMUM, Abqari Annuar, penemuan itu telah dimaklumkan kepada pihak Pejabat Keselamatan universiti sebelum perwakilan bertindak membuat satu laporan polis berhubung insiden tersebut.
“Pihak polis telah mengambil mayat kucing tersebut bagi memastikan satu proses bedah siasat dijalankan untuk menentukan punca kematian. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang terlibat.
“Sejurus selepas menerima maklumat (tentang penemuan bangkai kucing) tersebut, saya menghubungi Pejabat Keselamatan meminta mereka memperketatkan kawalan kemasukan dan mempertingkatkan kawalan di sekitar kampus.
“Saya juga meminta Pejabat Keselamatan untuk periksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. Namun, saya telah dimaklumkan kawasan tersebut tidak mempunyai CCTV. Pihak KMUM bagaimanapun tetap akan melihat sekiranya benar kawasan itu tiada CCTV,” katanya.
Dalam perkongsian menerusi akaun Instagram miliknya itu, Abqari turut memberitahu mengenai penemuan seekor bangkai anjing berhampiran perhentian bas di luar sebuah bangunan kolej kediaman pelajar UM.
Terdahulu, aktivis haiwan yang dikenali sebagai Shima Aris tampil mendedahkan hasil pemeriksaan terperinci oleh doktor veterinar di sebuah klinik swasta terhadap kucing kelima ditemui mati bernama Lily.
Berdasarkan ujian imbasan sinar-X yang dilakukan klinik swasta berkenaan, empat kaki milik Lily didapati dipotong dan mempunyai luka besar pada badan seperti dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.
Sekadar info sebelum Lily ditemui mati, bangkai dua kucing lain yang keempat-empat kakinya seperti dipotong dan perutnya juga terbelah ditemukan tidak bernyawa di universiti itu.
Susulan laporan mengenai kejadian itu, sebanyak 22 ekor kucing liar di sekitar universiti tersebut diselamatkan oleh sekumpulan sukarelawan yang prihatin dengan nasib haiwan berkenaan.
Baca juga: Ragu kematian kucing di UM akibat serangan anjing, NGO tawar RM5,000 kepada pemberi maklumat