Lagi kes tekap seterika, ATM jalankan siasatan dakwaan pegawai kadet UPNM didera senior

Oleh WAN SITI AMINAH

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang menyiasat dakwaan seorang Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan-Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM) yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, ATM mengesahkan bahawa kejadian itu melibatkan seorang pelajar kadet didakwa dibuli menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Jelas ATM, pihaknya mengambil maklum berhubung laporan tular di media alternatif dan media sosial mengenai kejadian itu selain berjanji akan melaksanakan siasatan dengan terperinci tanpa sebarang kompromi.

“ATM mengesahkan bahawa kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK–UPNM. ATM juga menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.

“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” kata ATM dalam kenyataan yang dimuat naik di platform Facebook itu menerusi akaun rasmi milik agensi berkenaan.

Dalam hantaran yang sama, ATM turut menggesa masyarakat untuk memberi ruang kepada pihaknya bagi menyiasat kejadian itu secara tuntas supaya keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak teraniaya.

Masyarakat juga diminta untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai kes penderaan tersebut kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan dijalankan pihaknya.

“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.” Jelas ATM dalam hantaran tersebut berhubung kes yang kini hangat diperkatakan oleh masyarakat itu.

Terdahulu, seorang pegawai kadet tahun dua di akademi ketenteraan yang terletak di Sungai Besi itu dilaporkan menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior hingga mengalami kecederaan dipercayai akibat ditekap seterika.

Perbuatan tersebut bagaimanapun terbongkar selepas jurulatih bertugas ketika itu menjalankan pemeriksaan berkala susulan menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan di akademi berkenaan.

Negara sebelum ini digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017 akibat dibuli, dipukul dan diseksa ekoran hampir keseluruhan anggota badannya ditekap berulang kali dengan seterika wap.

Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu kerana didapati bersalah membunuh Zulfarhan.

Baca juga: Peguam tuntut keadilan kematian Amirul Nashriq, bantu keluarga penuntut UPNM secara ‘probono’