Laksana segera Dasar Keterangkuman Gender dan Keluarga Selamat

Oleh KIM SYAZIE

Seawal pelantikan saya sebagai Ketua Wanita PH, Wanita Pakatan Harapan telah menekankan kepada kerajaan akan dua dasar utama yang perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan di peringkat persekutuan diikuti dengan kerajaan-kerajaan negeri, iaitu Dasar Keterangkuman Gender dan Dasar Keluarga Selamat.

Dan bagi kedua-dua dasar ini, kita telah ada contoh duluan iaitu sepertimana yang telah berjaya dilaksanakan di Pulau Pinang. Slowly but surely akan memberi impak yang terencana khususnya menjelang 2030, selari dengan Matlamat Pembangunan Mapan, PBB.

Tentulah pewujudan dasar ini tidak berakhir hanya atas kertas dasar semata-mata, tetapi disambut serius dengan mewujudkan Pelan Tindakan Strategik yang lebih substantive dan konstruktif oleh setiap agensi, peringkat pembuat keputusan, aktiviti dan program – juga seperti mana yang telah dibuktikan oleh pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sangat gembira jika keadaan yang sama turut dapat berlaku di seluruh negara!

Pengalaman saya lebih 30 tahun dalam politik memberi petunjuk betapa hasrat dan cita-cita murni yang sangat diperlukan masyarakat seperti ini akan dapat kita realisasikan melalui usaha konsultasi, libat urus dan diplomasi berterusan tanpa sebarang kepentingan menjadi juara.

Apa yang penting akhirnya adalah manfaat masyarakat teramai khususnya para wanita dan keluarga.

Saya juga ingin menyatakan kami menyambut baik penjelasan daripada Timbalan Menteri Wanita, Siti Zailah Mohd Yusof yang baru-baru ini menjelaskan kepada kita bahawa Rang Undang-Undang Gangguan Seksual akan dibentangkan pada persidangan Parlimen Disember nanti.

Saya yakin dan percaya ini adalah hasil usaha sama semua anggota legislator wanita yang telah mengemukakan memorandum bersama mendukung pelaksanaan segera akta berkaitan, yang hakikatnya telah digerakkan melalui kunjungan hormat kami (kepimpinan Wanita PH) kepada Datuk Seri Azalina Othman Said selepas beliau dilantik menjadi Penasihat PM dalam hal yang berkaitan dengan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia awal Oktober baru-baru ini.

Perjalanan kita masih panjang, nadi dan kehangatan perjuangan ini tersusun kemas in shaa Allah – secara sedar dan istiqomah.

Doakan kami, Berkhidmat untuk semua!