Sudah lama rasanya tidak mendengar khabar penyanyi Khai Bahar yang kini lebih banyak menyepi dari industri hiburan.
Mungkin anak seni berusia 30 tahun itu masih lagi mendapat tawaran nyanyian, namun diakui wajahnya jarang terpapar di kaca televisyen.
Pun begitu, namanya kian menjadi sebutan selepas didakwa terlibat dengan parti liar.
Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa dia dan rakan-rakan hanya pergi ke pusat karaoke dan bukannya berparti di kelab malam.
“Saya tak kata saya seorang yang baik, saya tak ambil kisah apa benda yang kawan nak buat. Saya jumpa kawan-kawan untuk sambut hari jadi, makan-makan.
“Kadang-kadang bila lepak dengan kawan-kawan pergi karaoke itu ini.
“Padahal karaoke itu biasalah tutup lampu. Macam bilik ‘VIP’ pasti dihidangkan snek, air berkarbonat dan sebagainya. Karaoke sahaja dakwaan parti itu tidak benar. Pandangan orang tengok karaoke itu lain-lain.
“Saya rasa benda itu sekadar nak hiburkan diri sendiri sebelum mak saya sakit,” katanya ditemui pada pelancaran lagu baharunya Bawa Hatiku Bersama Kamu terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan edaran Indigital Music.
Khai berkata dia memutuskan untuk kurang keluar dan berhenti melepak dengan kawan-kawannya demi menghormati ibunya yang jatuh sakit pada awal 2022.
“Selepas emak sakit, saya terus berhenti pergi karaoke dan lepak dan fokus kepada mak yang sakit. Saya tak pergi sana sini. Sebab benda itu melalaikan saya untuk melupakan mak saya.
“Saya beritahu mereka kalau nak jumpa atau karaoke datang ke rumah, kita boleh lepak rumah. Bilik saya besar dan ada kelengkapan. Rumah saya ada keluarga iaitu abang, adik dan kakak saya,” katanya.
Penyanyi lagu Bayang itu sehingga kini masih berusaha menyembuhkan hati laranya selepas pemergian bonda tercintanya Rosnah Muhammad, 62, pada Januari lalu.
Baca juga: Duit KWSP RM750,000 licin dalam masa 7 tahun, lelaki ini saran pesara berjimat cermat