Lapan calon berentap di kerusi DUN Dudong

Oleh KIM SYAZIE

Lapan calon bakal berentap di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini.

Ia sekali gus mencatat sejarah sebagai kerusi DUN yang paling ramai calon berbanding di kerusi lain yang menyaksikan pertembungan tiga, empat dan lima penjuru.

Pada penamaan calon yang berlangsung pagi tadi calon – calon adalah terdiri daripada Wong Hie Ping dari PSB, Dr Jane Lau Sing Yee (PBK), Fadhill Mohamad Isa (Bebas), Julius Enchana (PBDSB), Paul Ling (DAP), Josephine Lau (Aspirasi), Datuk Seri Tiong King Sing (GPS) dan Engga Unchat (Bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dudong Abdul Razak Awang Bini mengesahkan kesemua calon layak bertanding setelah meneliti dan menjalankan proses tapisan permohonan masing-masing dimana tiada calon yang ditolak.

Beliau mengumumkan senarai rasmi calon-calon yang bertanding di DUN Dudong pada jam 11.10 pagi.

Pusat Penamaan Calon bagi kerusi DUN Dudong diadakan di Perpustakaan Awam Sibu Jaya.