‘Larangan kempen wujudkan padang permainan tidak sama rata’

Oleh ARIF ATAN

Larangan segala bentuk perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mewujudkan peluang tidak sama rata antara parti pembangkang dan kerajaan, tegas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu itu berkata, berpendapat peraturan baharu tersebut menjejaskan peluang kemenangan parti pembangkang dan memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

“Garis panduan ini sangat jelas, ia akan mewujudkan padang permainan yang tidak sama rata antara parti yang bertanding. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saran calon yang bertanding menggunakan stesen televisyen.

“PKR tiada stesen televisyen. RTM milik kerajaan, dan TV3 adalah stesen swasta. Masa siaran sangat mahal dan di luar keupayaan parti. Jadi, siapa ada kelebihan?

“Tentunya parti kerajaan yang memerintah hari ini, iaitu Umno, Barisan Nasional (BN) dan gabungannya,” katanya dipetik BH.

Akibat larangan itu, wakil rakyat PKR berkenaan berkata, PKR dan pembangkang dalam keadaan lemah.

“Kini, kami sedang mengumpul seluruh potensi yang arif dalam teknologi maklumat dan media sosial,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan semua bentuk majlis dan perhimpunan berkaitan PRN Melaka memandangkan hal ehwal pilihan raya adalah dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jelasnya, KKM bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya perlu memberi nasihat dan pandangan kepada SPR, yang akan memutuskan SOP sesuai untuk PRN Melaka.

“Tak perlu ada menteri bercakap soal larangan pilihan raya kerana kita sudah ada SPR. Ini janggal dan tidak wajar,” kata Saifuddin lagi.