Pelakon, Mimi Lana menyifatkan kejadian buli dipercayai dialami oleh pelajar Tingkatan Satu iaitu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebagai bukti jelas bahawa isu itu berada di tahap yang semakin membimbangkan.
Malah pemilik nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin itu terkejut apabila menemui banyak video memaparkan insiden pelajar lain dibuli dirakamkan sendiri oleh pelaku yang tersebar meluas di platform media sosial.
Pelakon berusia 30 tahun itu tidak dapat membayangkan betapa hancurnya hati ibu bapa menyaksikan anak yang menjadi harapan mereka dibuli memandangkan dirinya sendiri turut terkesan melihat rakaman sedemikian.
“Kes Adik Zara hari ini membuktikan bahawa masalah buli dan sosial di negara kita sudah tidak dapat dibendung lagi. Di FYP (Four You Page) saya hari ini bukan ada satu. Tetapi lebih 10 video (buli) dirakam sendiri oleh pembuli.
“Malah mereka datang dari berlainan sekolah. Berani ya kamu semua?! Hancur hati saya, apatah lagi hati ibu bapa yang mengharapkan masa depan anak mereka,” kesal Mimi menerusi satu perkongsian di platform Instagram.
Sehubungan dengan itu, Mimi menggesa supaya kerajaan tidak memandang ringan terutama dalam membanteras gejala buli agar kejadian dialami Zara tidak berulang lagi kepada mangsa lain terutamanya pelajar sekolah.
Isteri kepada pelakon, Syafiq Kyle itu juga menegaskan bahawa semua pihak memiliki tanggungjawab bersama dalam menghapuskan budaya buli sama ada gejala negatif tersebut bermula di rumah mahupun sekolah.
“Ini tentang masa depan generasi kita. Buli bukan budaya. Buli bukan normal,” tegas Mimi yang merupakan di antara selebriti tampil lantang bersuara menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina Mahathir.
Mimi turut menyertakan beberapa tanda pagar menerusi perkongsian tersebut sebagai simbol solidariti termasuk #JusticeForZara (Keadilan buat Zara), #StopBullying (Henti membuli), #SaveOurChildren (Selamatkan anak kita) serta #JusticeForAllVictims (Keadilan buat semua mangsa).
Baca juga: Sultan Pahang titah laksana solat hajat di seluruh negeri, pohon keadilan buat Zara Qairina