Mungkinkah seorang lelaki berketurunan India di London dapat berjumpa jodohnya selepas membelanjakan sejumlah 2,000 pound (RM10,000) bagi menyewa dua papan iklan di stesen kereta api di London?
Itulah yang dilakukan Jeevan Bhachu, 31, yang sanggup menyewa iklan di stesen kereta api demi mencari calon bakal isteri selepas usahanya menerusi aplikasi cari jodoh tidak berhasil.
Jeevan Bhachu yang sanggup berbelanja bagi dua papan iklan selama dua minggu itu kelihatan mengenakan sut berwarna merah jambu dengan tertera perkataan ‘Best Indian you’ll takeway’ (lelaki India terbaik anda boleh ambil).
Usahanya membuahkan hasil apabila lebih 50 calon menghubunginya dalam tempoh beberapa hari, lapor Utusan Malaysia memetik Oddity Central.

Bhachu memberitahu Evening Standard, dia memilih papan iklan di stesen itu kerana lebih mendapat perhatian daripada orang ramai yang menunggu kereta api.
Pada mulanya, pihak pengangkutan awam di London menolak permohonan iklannya kerana didakwa melanggar syarat iklan makanan segera.
“Saya bukan mencari ratusan calon, tetapi hanya mencari seseorang yang istimewa,” katanya.
Papan iklan tersebut turut menyediakan laman sesawang bagi menggalakkan pemohon mengetahui lebih lanjut kriteria yang dicari lelaki itu.
Bhachu meletakkan syarat seperti calon yang merendah diri, mementingkan keluarga, suka berjenaka dan tidak terlalu serius dalam kehidupan.