Lebih 72% pelajar sekolah agama di P. Pinang belum divaksin

Oleh BORHAN AHMAD

Sehingga ini seramai 72.87 peratus atau 4,120 pelajar Sekolah Agama di Pulau Pinang yang belum menerima suntikan vaksin.

Ia turut merangkumi pelajar Sekolah Tahfiz, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta juga Sekolah Pondok.

Menurut Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, jumlah keseluruhan pelajar aliran agama tersebut adalah seramai 5,654 orang.

“Bagi pelajar Sekolah Tahfiz mereka yang telah divaksin adalah seramai 7.5 peratus atau 202 orang, manakala bagi Sekolah Pondok pula adalah sebanyak 20.4 peratus atau 1,161 pelajar yang telah divaksin.

“Sementara itu, seramai 59.7 peratus atau 1,095 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Rakyat telah pun divaksin dan menurut Jabatan Agama Islam Pulau Pinang vaksinasi bagi pelajar aliran tersebut diuruskan oleh keluarga masing- masing,

“Sejajar dengan itu para waris dan ibu bapa dinasihatkan supaya membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan perlindungan vaksinasi dengan segera kerana kesemua 10 Pusat Pemberian Vaksin secara ‘walk-in’ di seluruh Pulau Pinang akan berakhir pada 31 Oktober 2021, ” ujar beliau dalam satu kenyataan.