Lelaki buka beg kuning jual angin pantai segar, tak sangka rupanya sudah 13 orang beli!

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan gelagat seorang lelaki sedang ‘mengumpul’ angin di tepi pantai dengan menggunakan plastik bungkusan telah berjaya menarik perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, tujuan lelaki terbabit mengumpul angin tersebut bukanlah hanya sekadar suka-suka sebaliknya udara segar berkenaan adalah barangan dagangan yang dijual secara atas talian.

Perkara yang lebih mengejutkan pengguna media sosial tempatan adalah terdapatnya ‘beg kuning’ dipautkan di dalam rakaman tersebut menandakan barangan tersebut sememangnya untuk dijual.

Malah tinjauan di aplikasi TikTok iaitu platform yang mana produk diberi nama ‘Angin Pantai Udara Segar’ itu dijual juga mendapati terdapat 13 pelanggan sudah membeli barangan dagangan tersebut.

Setakat artikel ini ditulis, harga yang dipaparkan di laman TikTok Shop itu adalah RM48 namun ramai pengguna memaklumkan bahawa nilai produk tersebut berubah-ubah malah pernah dijual dibawah RM10.

“Angin pantai, angin pantai. Segar-segar lagi. Siapa-siapa yang nak tengok, ini betul-betul segar. Jadi mereka yang nak angin pantai, rasa sunyi atau duduk bandar bolehlah tengok beg kuning sekarang,” katanya dalam rakaman itu.

@wardiyya11

Tak payah pegi pantai dah. Beli angin pantai ni je

♬ Laksana Surgaku – Dudy Oris

Penjual produk tersebut bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut mengenai saiz bungkusan atau ‘jumlah’ angin namun pembeli diberitahu bahawa mereka akan mendapat hadiah percuma di atas pembelian produk.

Dalam perkongsian seterusnya, lelaki dikenali sebagai Hayyans yang mengakui hanya bergelar ‘affliate’ produk tersebut turut berkongsi video memaparkan kaedah mengumpul dan menggunakan angin tersebut.

@wardiyya11

Replying to @azzamazman92 Ingat mudah ke nak betul2 yabg freshh…tapi jangan beli oiii

♬ original sound – Hayyans – Hayyans

“Ingat mudah ke nak dapat angin yang betul-betul segar? Kena cari tempat yang tiada orang sangat. Pastikan juga tiada sampah sarap, barulah kita dapat tangkap angin yang berkualiti.

“Kita kena tangkap dengan cepat. Boleh tengok di dalam beg kuning. Siapa-siapa yang duduk Kuala Lumpur atau jauh dari pantai mahupun rasa tertekan, boleh beli angin yang segar ini. Tengok beg kuning.

“Harga asal RM10 tetapi sekarang ada promosi jadi dijual RM6 sahaja. Nanti sekejap lagi saya kongsikan video cara untuk menggunakan produk ini pula,” ujar lelaki itu dalam perkongsian video di akaun TikTok miliknya.

@wardiyya11

Replying to @paanaffiliateNi cara guna angin pantai yang berkesan.

♬ original sound – Hayyans – Hayyans

Baca juga: Kegagalan Tupperware bukan sebab produk tapi sebab terlalu lambat nak sedar