Gara-gara ‘dikhianati’ bapa sendiri, seorang pemuda terpaksa menerima kenyataan apabila dirinya diisytihar muflis ketika berumur 23 tahun.
Berjaya mengundang simpati, pemuda itu menerusi satu hantaran di laman Facebook menceritakan kronologi kejadian yang bermula ketika usianya mencecah 18 tahun.
Ketika itu, nama dan identiti miliknya ‘dipinjam’ untuk melakukan urusan pendaftaran melibatkan perniagaan yang diurus dan dibangunkan bapa kandungnya sendiri.
Perniagaan yang diusahakan bapanya itu bagaimanapun tidak berjaya mendapatkan keuntungan hingga terpaksa gulung tikar ketika umur pengadu mencecah 23 tahun.
Turut terkena tempias kerana perniagaan tersebut didaftarkan atas namanya, lelaki itu dikenakan tindakan saman sebanyak RM10,000 sebelum diisytiharkan muflis.
“Ayah buka perniagaan guna nama saya ketika umur 18 tahun. Perniagaan lingkup, kena saman RM100,000 dan saya diisytiharkan muflis. Bankrap masa umur 23 tahun.
“Sekarang umur 33 tahun, sudah 10 tahun berlalu. Ayah sendiri buat tak faham. Bila jumpa mak ayah, mak cuma minta banyakkan bersabar. Ini dugaan, Allah nak uji,” luahnya.
Perkongsian tular yang berjaya mencuri perhatian ramai itu dikongsi menerusi satu hantaran dimuat naik di laman kumpulan Facebook bernama Muflis Bankrap di Malaysia.
Meski sudah sedekad berlalu, pemuda berkenaan sempat meluahkan perasaan terkilan apabila bapanya tergamak bersikap lepas tangan selepas dirinya diisytihar muflis.
Lebih memburukkan keadaan, pengadu turut mengalami pelbagai kesukaran untuk melakukan urusan peribadi setelah diisytihar muflis termasuklah pembelian rumah.
“Ayah yang menjadi punca tetapi lepas tangan macam itu sahaja. Sebagai anak, saya betul-batul rasa macam kena khianat dengan ayah sendiri.
“Sekarang nak beli rumah tak boleh, nak pergi luar negara semua tak boleh. Rasa menyesal juga sebab percaya dan biarkan ayah sendiri buat macam ini.” Kongsi pengadu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna yang bersimpati dengan nasib lelaki tersebut tampil memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah itu.
Selain menyediakan modal yang cukup bagi melantik peguam, pemuda tersebut juga disarankan untuk memohon bantuan daripada pihak Jabatan Insolvensi Malaysia.
“Ada 1,001 cara nak lepas daripada muflis. Tapi iyalah, kena ada modal juga nak lantik peguam. Usahalah sedikit daripada tak ada perubahan,” kongsi seorang pengguna.
“Saya pernah dikhianati abang kandung sendiri sampai muflis. Jadi saya faham. Pergi Insolvensi, jangan culas bayar. Saya tiada sekatan untuk keluar negara.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Keputusan kahwin lain dibuat lepas bercerai, bekas suami Irma Hasmie tampil jawab spekulasi