“Lepas ibu tiada baru aku tahu dia benci ayah dari hari pertama mereka kahwin, hancur hati bila tahu puncanya”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati anak manakah yang tidak hancur apabila mengetahui bahawa sang ibu terpaksa hidup di dalam penuh penderitaan sepanjang tempoh perkahwinannya.

Menyangka dirinya berada di dalam keluarga bahagia, Fah (bukan nama sebenar) terkejut saat mengetahui ibunya terpaksa menikah dengan lelaki yang paling dia benci.

Berikut adalah perkongsian Fah yang mula bencikan ayahnya apabila mengetahui rahsia sebenar di sebalik perkahwinan ibu bapanya selepas menemui sebuah diari.

“Tahun 2023 ini menandakan tahun ke-5 ibu meninggal dunia. Ibu aku ini seorang isteri dan ibu yang baik. Jarang marah, cakap lemah lembut, semua elok. Setahun selepas ibu pergi, ayah dengan adik beradik yang lain pergi balik kampung. Aku tak dapat balik sebab waktu itu minggu final exam. Jadi duduk rumah seorang diri.

“Entah kenapa hari itu aku rasa nak mengemas rumah. Jadi aku pun kemas dari dapur, ruang tamu, bilik air dan setiap bilik dekat rumah termasuk bilik ayah dengan ibu. Masa tengah kemas almari, aku terjumpa satu buku diari yang dilekatkan di belakang hujung laci. Laci itu kena cabut dahulu baru boleh jumpa buku. Aku pun tak sengaja jumpa sebab laci bawah itu tersenget, jadi aku kena cabut laci yang atas.

“Bila buka diari itu, tengok dari tulisan dan nama jelas ini diari arwah ibu aku. Isi diari itu bukan baru ya. Tetapi dari umur ibu berbelas tahun. Awalnya setakat tulisan biasa. Cita-cita ibu, benda yang normal. Sampai ibu berumur 17 tahun, tulisan dalam diari itu berubah. Kalau baca memang hati rasa marah. Ibu aku tulis pasal seorang insan bernama ‘Azrul’ (bukan nama sebenar) dalam itu segala kata makian ada. Siapa itu Azrul? Ayah aku.

“Makin aku selak, luahan hati ibu dalam diari itu makin gelap. Makin sakit, makin perit bila baca. Setiap tulisan itu bila aku baca, memang boleh rasa alangkah bencinya ibu dekat ayah. Ada satu muka surat itu ibu tulis ‘aku haramkan tubuh badan aku sampai mati Azrul’. Bila aku baca ayat itu memang meremang. Yang paling seram dan menakutkan benda itu bukan setakat setahun dua. 

“Setiap bulan, ada dua atau tiga kali ibu aku tulis dari umur dia 17 tahun sampailah setahun sebelum dia meninggal dunia. Kau tahu, sampai sekarang setiap kali teringat tulisan ibu, aku meremang lain macam. Aku dapat rasa yang ibu aku terlampau benci, marah, jijik dengan ayah aku. Selama ini, aku ingat ayah dengan ibu aku tak ada masalah. Kiranya hubungan mereka elok.

“Tetapi bila baca itu memang terus macam plot twist melampau. Sejak hari itu, aku tak boleh lupa. Dekat luar aku buat macam biasa teruskan hidup. Tetapi dalam hati, aku tertanya-tanya kenapa arwah ibu benci sangat dekat ayah. Aku cuba selidik sendiri, tetapi tak dapat petunjuk langsung. Sampailah aku jumpa mak ngah. Kami sekeluarga memang rapat dengan mak ngah aku.

“Waktu itu, aku ajak mak ngah keluar sebab nak cakap pasal arwah ibu. Masa itu aku terus tanya, ‘kenapa arwah ibu benci ayah?’. Tetapi aku tak cakap pasal diari itu. Mak ngah bila dengar soalan itu, dia mengelak, ‘mana ada benci, tengok mereka berdua gembira sahaja’. Aku pancing cakap, ‘arwah ibu dulu pernah cakap orang yang paling dia benci ialah ayah, tetapi dia tak pernah beritahu tahu kenapa’. Mak ngah aku pun guna ayat ‘biarlah rahsia’. Bila aku cakap nak tanya dekat nenek, terus dia cakap jangan.

“Akhirnya mak ngah aku terangkan dari awal. Umur mak ngah dengan ibu tak jauh, setakat setahun beza. Mak ngah cerita, ibu aku dari kecil dah agak pandai. Bila masuk sekolah, memang pelajar cemerlang. Dari kecil lagi dah ada cita-cita nak jadi doktor. Ini kami semua tahu sebab ibu banyak kali cerita dia nak jadi doktor.

“Sampai berlaku satu tragedi. Ayah aku waktu ini, bergelar cikgu. Mengajar dekat sekolah ibu aku. Masa umur ibu aku 17 tahun, dia perkosa ibu dekat sekolah. Ibu aku baru nak balik sekolah waktu itu. Bila dengar itu, aku dalam kepala macam nak pengsan, macam nak pecah kepala. Mak ngah selalu balik dengan ibu. Tetapi pada hari kejadian, mak ngah tunggu dan ibu tak keluar-keluar dari sekolah. Sekali bila cari, mak ngah nampak ibu terbaring menangis dalam kelas.

“Bila balik pula, mak ngah aku pun cerita. Atuk aku pergi rumah cikgu itu entah macam mana mak ngah aku cakap. Bila balik itu, atuk suruh mak aku kahwin dengan cikgu itu, iaitu ayah aku. Mak ngah cakap atuk dengan selamba cakap jaga maruah keluarga kita. Ibu menangis dengan nenek aku cakap jangan kahwinkan. Tapi atuk aku paksa akhirnya ibu dengan ayah berkahwin.

“Waktu itu aku memang tak hairan kenapa ibu bencikan ayah macam itu sekali. Dalam diari itu, bukan setakat ayah dia benci tapi atuk aku sekali. Mak aku siap tulis, dia rasa macam nak tikam ayah dan atuk aku. Aku simpan benda ini sampai sekarang. Sejak hari itu, aku punya benci dengan ayah dan atuk aku. Setiap kali terfikir, aku rasa macam nak menangis dan b*n*h diri. 

“Bayangkan arwah ibu berkahwin dari umur 17 tahun sampai 40-an sebelum dia meninggal dunia. Aku tak boleh bayang peritnya hidup arwah ibu. Waktu dia hidup hari demi hari, lepas tragedi pada umur 17 tahun itu. Selama ni aku cuma nampak dari luaran ibu aku tenang, senyum tak pernah lekang. Tetapi keperitan hati ibu tiada siapa yang tahu.

“Aku pernah terfikir nak beritahu kak long aku. Tetapi setiap kali nak cakap, lidah aku terkelu. Aku takut bila along aku tahu habis ranap semua. Jadi aku cuma mampu pendam dan simpan dalam hati hingga ke hujung nyawa.” Luah Fah.

Baca juga: Gara-gara tercekik buah anggur, budak 2 tahun maut lepas 10 hari bertarung nyawa