Letak harga lebih 20 sen untuk minyak masak peket, KPDN Perak kenakan tindakan

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada peniaga dan pemilik kedai dengan sewenangnya mengubah harga barang kawalan melebihi had yang ditetapkan.

Walaupun hanya 20 sen, ia tetap dikira sebagai satu kesalahan dan tindakan boleh diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sebuah premis di Lenggng, Gerik dikenakan tindakan oleh KPDN Perak selepas didapati menjual minyak masak peket 1 kilogram (kg) melebihi harga kawalan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, premis tersebut mendapat perhatian pihaknya menerusi maklumat orang awam lapor Kosmo! Online.

Orang ramai memaklumkan minyak masak peket 1kg di premis berkenaan dijual melebihi harga ditetapkan oleh kerajaan.

“Berdasarkan maklumat aduan tersebut, anggota Penguat Kuasa KPDN cawangan Gerik telah bertindak membuat Op Samar.

“Didapati permis perniagaan tersebut telah menjual minyak masak peket dengan harga RM2.70 melebihi harga ditetapkan kerajaan iaitu RM2.50.

“Sehubungan itu, sepasukan anggota penguat kuasa beruniform telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis.

“Sebanyak 60 peket minyak masak peket 1kg ditemui di bahagian belakang stor penyimpanan premis,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Turut ditemukan adalah 13 peket lagi minyak masak di dalam kotak di bahagian hadapan premis dengan diletakkan tag harga RM2.50.

“Tindakan telah diambil di bawah kesalahan Seksyen 12 Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) iaitu gambaran yang mengelirukan tentang barang.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” ujar beliau.

Baca juga: Nasib baik dapat pekerja jujur, majikan ini terlebih ‘transfer’ RM7,200 untuk gaji akhir tahun