Satu luahan daripada seorang warga emas yang menjaga empat orang cucunya selama sembilan tahun mendapat perhatian ramai selepas dia meluahkan rasa dilema kerana hanya dibayar RM400 sebulan untuk membesarkan cucu-cucunya.
Menurut perkongsian di Threads, lelaki itu dan isterinya telah mengasuh cucu mereka yang berusia 9, 7, 3 dan 2 tahun sejak hampir sedekad lalu kerana ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut bekerja.
Namun jumlah perbelanjaan yang diberikan anak-anaknya tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian empat cucunya.
“Patutkah saya dan isteri menerima keadaan begini. Mengasuh empat cucu selama sembilan tahun. Kami diberi sedikit dalam RM400 sebulan tapi itulah tak cukup,” luah warga emas itu.
Dia turut menyenaraikan pelbagai keperluan yang perlu ditanggung seperti makanan, susu, pampers, tambang bas, bil elektrik, ansuran kereta serta belanja sekolah cucu.
Lebih menyedihkan, pasangan warga emas ini tidak mempunyai pendapatan tetap mahupun pencen.
“Kami tiada pendapatan atau pencen. Bagaimana pendapat anda?,” tanya dia lagi.
Luahan ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan anak kepada warga emas tersebut kerana didakwa mengambil kesempatan terhadap ibu bapa sendiri.
“Stop la suruh nenek dan atok jaga anak korang. Walaupun ada yang willing tapi kita sebagai anak patut faham keadaan dorang. Atok nenek sepatutnya jumpa cucu untuk isi masa lapang bukan jadi babysitter,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna mengingatkan bahawa atuk dan nenek bukan lagi sesuai untuk menggalas tugas mengasuh cucu yang sedang membesar.
Mereka sepatutnya diberi ruang berehat dan hanya menemani cucu ketika lapang, bukan menggantikan peranan ibu bapa.
Baca juga: Rafizi Ramli datang kemas pejabat, beri bayangan kekal keputusan letak jawatan