LUAS aktifkan Kod Kuning, kesan aliran air berwarna merah jambu di Sungai Kabul

Oleh WAN SITI AMINAH

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengaktifkan Kod Kuning selepas mengesan aliran air berwarna merah jambu dipercayai kesan pencemaran di Sungai Kabul, Kampung Bukit Batu, Beranang, semalam.

Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air itu diaktifkan supaya tindakan siasatan yang menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi berhubung penemuan tersebut dapat dilakukan dengan segera.

LUAS menerusi kenyataan di platform Facebook berkata, tindakan perlu diambil segera kerana aliran tercemar itu berpotensi untuk memberi impak kepada loji rawatan air (LRA) di Sungai Semenyih pada jarak 16.3 kilometer (km).

Difahamkan, aliran air berwarna merah jambu sepanjang anggaran 500 meter itu dikesan sekitar jam 6.40 petang, Selasa lalu ketika pasukan LUAS membuat rondaan dan pemantauan rutin di lembangan Sungai Langat.

“LUAS telah segera melaksanakan siasatan dan menjejaki sumber kepada aliran tercemar tersebut disyaki berpunca daripada sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Beranang.

“Semakan LUAS di premis yang disyaki berkenaan telah menemukan aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis sebelum masuk ke Sungai Kabul dan seterusnya ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.

“Premis berkenaan diarahkan untuk menghentikan dan menutup pelepasan serta merta. Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen LUAS 1999 telah diberi kepada premis tersebut untuk melaksanakan pembersihan serta merta di lokasi dan kawasan yang terlibat,” katanya.

Dalam masa yang sama, agensi berkenaan juga telah melaksanakan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan tindakan penguatkuasaan lanjut.

Pemantauan statik di Sungai Kabul juga telah diaktifkan dengan kekerapan setiap 30 minit untuk memantau rapi kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh premis terlibat sehingga selesai.

“Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS juga berada di lapangan bagi tindakan dan mitigasi segera.” Ujar agensi berkenaan dalam kenyataan dikongsikan di platform Facebook itu.

Baca juga: Asbab batal pesanan selepas hujan, tindakan ‘rider’ bantu pakcik sesak nafas raih pujian