Seorang penghantar makanan tidak menyangka bahawa keputusannya untuk membatalkan pesanan pelanggan telah menjadi asbab dirinya terserempak dengan lelaki berusia dikatakan sedang mengalami sesak nafas.
Lelaki berpangkat ‘pak cik’ terbabit dipercayai sesak nafas akibat serangan jantung dan terduduk lemah selain tidak mampu berkomunikasi dengan baik seperti yang terakam dalam video dikongsi oleh penghantar makanan itu.
Menerusi rakaman berdurasi 23 saat yang dimuat naik di platform TikTok, penghantar makanan itu memaklumkan bahawa kejadian berlaku selepas dirinya membatalkan pesanan pelanggan kerana cuaca tidak mengizinkan.
Namun sewaktu menunggu hujan berhenti, penghantar makanan itu terserempak dengan seorang pakcik yang sedang mengalami sesak nafas sebelum memutuskan untuk menghubungi pihak ambulans.
“Batal pesanan (dari aplikasi pengantaran) sebab hujan. Dapat membantu mangsa yang sakit jantung dan sesak nafas,” kata penghantar makanan tersebut di dalam satu hantaran dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
Penghantar makanan itu kemudian menunggu bersama pakcik terbabit dan di dalam masa yang sama cuba untuk menenangkan mangsa sementara menanti ambulans sampai ke tempat kejadian.
Dalam perkongsian seterusnya, penghantar itu memuat naik rakaman memaparkan pihak ambulans tiba sekitar pukul 12 malam untuk mengejarkan pakcik berkenaan ke hospital dengan segera.
“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan urusannya. Insya-Allah, tak kiralah apa bangsa pun kita kena tolong. Yang penting, kita tolong orang yang berada dalam kesusahan. Hujan lebat lagi. Alhamdulillah, dapat tolong orang.
“Semoga baik-baiklah ‘uncle’ ya. Saya pun tersadai di sini. Tak boleh nak mencedok (hantar pesanan pelanggan). Tak mengapalah, ada hikmahnya. Santai kawan.” Ujar penghantar makanan itu.
Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna TikTok dari pelbagai bangsa tampil berterima kasih dan memuji tindakan pemuda terbabit membantu orang dalam kesusahan.
Ramai juga pengguna tidak melepaskan peluang untuk mengirimkan doa agar urusan pemuda terbabit sentiasa dipermudahkan dan dimurahkan rezeki asbab daripada kebaikannya itu.
Baca juga: Tolak tawaran jadi tenaga pengajar, Farid Kamil nak sambung Master