Ramai yang terikut ‘trend’ untuk mencantikkan wajah dengan suntikan ‘filler’ sedangkan wajah asli sebenarnya sudah cantik.
Tambahan pula banyak rawatan dibuat di klinik tidak bertauliah maka ada banyak kesan sampingan terpaksa ditahan individu.
Menyesal selepas menjalani suntikan filler di bahagian dagu, pelakon Watie Sadali mengaku runcingnya itu menyebabkan dia terlihat seperti ahli sihir.
Lebih menyedihkan, suntikan tersbeut menyebabkan dia terpaksa menjalani prosedur mengeluarkan filler dengan menanggung kos lebih tinggi lapor Kosmo! Online.
“Kesedaran untuk membuang ‘filler’ timbul selepas bentuk dagu saya mula berubah menjadi lebih panjang seolah-olah macam muka ahli sihir.
“Benda (filler) itu teruk kerana campur dengan yang tak asli jadi apabila guna bahan palsu pada muka, lama-kelamaan impaknya semakin ketara buruk.
“Memang menyesal. Sejak itu saya jumpa pakar untuk buang secara berperingkat dan kosnya sangat tinggi, boleh bayar wang pendahuluan beli kereta,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jelas penyanyi berusia 48 tahun itu, dia berharap pengalamannya ini menjadi pengajaran buat mereka yang teringin nak melakukan suntikan filler.
“Tolong bersyukur dengan kecantikan alami yang anda miliki, tetapi jika ingin juga buat rawatan kecantikan, pergi berjumpa pakar dan ke tempat yang betul.
“Kesannya sangat buruk. Ketika buat dahulu memang murah, ada suntikan yang tak sampai RM100 pun. Cuma sekarang kos untuk buang boleh cecah ribuan ringgit, bahkan bukan boleh buang sekali gus, kena berperingkat.
“Macam saya, kena jumpa doktor berulang kali untuk buang ‘filler’ yang masih bersisa sejak beberapa tahun lalu.
“Doktor cakap saya bernasib baik sebab suntik dagu sahaja. Kalau tempat lain lagi teruk impaknya,” ujarnya.
Baca juga: Dari pemain bola profesional kini penyampai radio Era FM, Safee Sali cabar sisi ‘introvert’