Meskipun sukar untuk mencari peluang pekerjaan namun buat jenayah bukanlah satu cara untuk mendapatkan wang mudah.
Tersilap langkah maka lama berada di balik tirai besi, jika masih berkemampuan carilah kerja halal.
Seorang penganggur ditahan beberapa jam selepas dia menyamun kedai serbaneka 24 jam di Bandar Botanik, Klang.
Kejadian yang berlaku Sabtu lalu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Ramli Kasa lapor Harian Metro.
Beliau memaklumkan lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 8.25 malam di Taman Andalas, Klang.
Penahanan itu dilakukan selepas laporan dibuat pekerja kedai berkenaan pada jam 5.35 petang, hari yang sama.
Polis dikatakan menerima laporan daripada pekerja kedai berkenaan yang memaklumkan tempat kerjanya disamun oleh seorang lelaki bersenjatakan pemutar skru.
“Suspek menghentak meja kaunter sebelum mengugut serta memaksa mangsa menyerahkan semua wang dalam mesin daftar tunai.
“Mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan semua wang yang ada, dan kerugian dianggarkan sekitar RM3,000.
“Polis turut merampas peralatan, kenderaan dan pakaian yang digunakan lelaki berkenaan dalam jenayah samun,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan tiga rekod jenayah.
“Selain pembabitan dalam kes ini, soal siasat ke atas suspek berjaya menyelesaikan empat kes lain dengan modus operandi yang hampir sama di sekitar daerah Klang Selatan.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan,” katanya.
Baca juga: Anak Malaysia dedah realiti hidup di negara orang, nombor 10 tu ‘confirm’ rasa nak patah balik