Mahkamah Rayuan pagi ini secara sebulat suara menolak rayuan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff untuk membatalkan saman Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AWAN), Aiman Athirah Sabu terhadapnya.
Kamarul memfailkan rayuan berkenaan setelah Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 7 Januari lalu telah menolak permohonannya untuk membatalkan saman Aiman ke atasnya.
Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan dibantu oleh Hakim Datuk S. Nantha Balan dan Hakim Datuk Nordin Hassan bersidang pagi ini dan menolak rayuan defendan tersebut setelah mendengar hujah kedua-dua peguam yang mewakili Kamarul dan Aiman.

Hakim Mohamad Zabidin semasa menyampaikan keputusan, menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mendapati tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan campur tangan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan berkenaan sebelum ini.
Kes tersebut yang telah diperintah untuk dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu ke Mahkamah Tinggi Alor Setar ekoran permohonan Kamarul yang menyatakan bahawa dia kini menetap sepenuhnya di Kedah dan bukan lagi di Kelantan, kini ditetapkan untuk disebut semula pada 3 November depan di hadapan Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi pengurusan kes prabicara.
Pada perbicaraan pagi ini, Aiman Athirah diwakili oleh peguam Hisham Fauzi manakala peguam Faidhur Rahman Abdul Hadi mewakil Kamarul.