Mahkamah Vaksin sepatutnya yang tentukan kematian disebabkan vaksin atau komorbiditi

Oleh NASUHA RAHMAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dicadangkan agar menggunakan kaedah seperti di Amerika Syarikat atau singapura dengan mewujudkan Mahkamah Vaksin.

Dengan adanya mahkamah Vaksin ini ia boleh menentukan punca kes kematian individu yang telah menerima vaksin COVID-19, kata Pakar perunding kanak-kanak dan neonatologi Dr Musa Nordin.

Jelas beliau, ketika ini siasatan lanjut mengenai kes kematian individu yang sudah divaksin diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mahkamah Vaksin sepatutnya yang tentukan kematian disebabkan vaksin atau komorbiditi
Dr Musa Nordin

“Saya sudah lama mencadangkan supaya KKM mengguna kaedah di Amerika Syarikat atau di Singapura, di mana ada mahkamah vaksin.

“Sebab, sekarang ini KKM yang menentukan. Jadi, nampak sedikit berat sebelah.

“(Sebaliknya) mahkamah vaksin ini akan menentukan sama ada kematian disebabkan oleh vaksin atau komorbiditi iaitu penyakit lain,” katanya.

Dr Musa berkata demikian ketika hadir sebagai salah seorang ahli panel forum awam yang berlangsung secara maya bertajuk ‘Vaksin COVID-19: Adakah anak anda perlukannya?’

Jelasnya, mahkamah vaksin di Amerika Syarikat berjaya mendedahkan, 80 peratus kematian mereka yang telah divaksin adalah disebabkan faktor lanjut usia dan tiada kes melibatkan vaksin Pfizer atau Moderna.

“Di Amerika Syarikat, sudah digunakan 300 juta dos mRNA, iaitu Moderna dan Pfizer. 92 peratus daripada kesan sampingan adalah ringan seperti, sakit-sakit, lenguh, letih dan pening kepala.

“Ada kematian, tetapi lebih 80 peratus adalah daripada kalangan mereka yang lanjut umur dan tiada satu pun yang berkaitan dengan vaksin Pfizer atau Moderna.

“Hanya di Malaysia ada masalah ini. Seperti contoh, ada kes meninggal dunia ketika berbasikal tiga hari selepas ambil vaksin, terus dikatakan puncanya adalah vaksin.

“Namun hasil post-mortem menunjukkan mereka ada serangan jantung.

“Jadi, yang baiknya di Amerika Syarikat, ada mahkamah yang menentukan. Sekarang ini, (di Malaysia) semua KKM tentukan. Itu sebab timbul rasa gelisah rakyat tentang kaedah yang dilakukan,” ujar Dr Musa dipetik Awani.

Pegawai farmasi Dr Azuana Ramli juga mengakui banyak negara lain turut melaporkan kematian individu selepas menerima vaksin.

Beliau yang juga Ketua Seksyen Farmakovigilans, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM Farmasi berkata, antaranya Jepun yang melaporkan 700 kematian setelah ia memberi lebih 170 juta dos vaksin.