“Makin lama makin dekat menuju ke arah saya. Bila tengok dekat, rupa-rupanya ada mata kail yang sudah berkarat tersangkut pada mulut penyu itu.”
Itu perkongsian seorang pemandu lori yang terkejut apabila didatangi seekor penyu seolah-olah meminta bantuannya ketika sedang memancing di kawasan pantai Kuala Kertih, Terengganu baru-baru ini.
Peristiwa yang berlaku pada waktu senja itu menyaksikan seekor penyu dengan anggaran seberat 10 kilogram muncul dari permukaan air menuju ke arah Mahadi Mat, 42, pada jarak 15 meter
“Dari jauh saya nampak macam ada sesuatu muncul di permukaan air. Saya tak sangka penyu yang datang,” katanya.
Mulanya, beliau berkata, ingin membiarkan sahaja penyu berkenaan kerana menganggap haiwan terancam tersebut hanya bermain di kawasan perairan itu.
“Bila teringat satu video pernah saya tonton menceritakan penyu dekati manusia untuk meminta tolong, saya terus dapatkan penyu itu.
“Bila tengok dekat, rupa-rupanya ada mata kail yang sudah berkarat tersangkut pada mulut penyu itu,” dipetik Sinar Harian.
Untuk rekod, perairan Terengganu kerap menyaksikan kes penyu mati terdampar di pantai dengan sebanyak 12 bangkai penyu ditemukan di sana sepanjang Januari lalu.
Penemuan bangkai penyu di pantai Terengganu juga termasuk yang tiada sebarang kesan kecederaan pada haiwan itu dan keadaan fizikalnya kelihatan masih segar.
Mengulas lanjut, Mahadi berkata, selepas mengangkat penyu itu ke darat, dia menggunakan playar muncung tirus untuk mengeluarkan mata kail yang tersangkut pada mulut reptilia laut tersebut.
“Proses mengeluarkan mata kail sekejap sahaja tak sampai lima minit. Mujurlah mata kail itu tidak patah.
“Selepas memastikan tiada lagi mata kail atau kecederaan pada badan haiwan itu, saya melepaskan penyu itu kembali ke laut,” tambahnya lagi.
Baca juga: