Para pemimpin politik arus perdana akan marah jika dikatakan Malaysia mengamalkan demokrasi terpilih. Mereka akan mengatakan awak ini buta ke apa?
Bukanah Malaysia memberikan pilihan kepada raya menentukan kerajaan dan kejayaan Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya ke-14 menunjukkan proses demokrasi berjalan lancar di negara ini.
Proses undian rakyat itu bukankah dinamakan demokrasi? Jawapan retoriknya ialah adakah undian dan pilihan raya itulah sahaja yang dinamakan demokrasi. Sebenarnya Malaysia mengamalkan demokrasi terpilih mengikut kepentingan, selera dan tekak kumpulan pemerintah.
Ini adalah bentuk demokrasi diskriminasi totok. Apakah jawapannya pula apabila mandat rakyat dicabul melalui langkah-langkah politik di sebalik pelitup atau belakang tabir, bagaimana kovitokrasi berleluasa hasil gerak gabungan-gabungan atau pakatan-pakatan yang menumbangkan kerajaan pilihan rakyat.
Tidakkah ini dinamakan demokrasi terpilih. Bagi saya terdapat empat kecenderungan demokrasi terpilih yang kadang-kadang tidak melambangkan amalan demokrasi di negara ini.
Pertama, demokrasi dengan kekuatan penghujahan atau hak bersuara. Sejauh manakah hak bersuara dibenarkan di tempat awam. Sekarang telah diisytiharkan larangan perhimpunan sosial kerana takut ancaman virus Covid-19. Kerajaan seolah-olah sedang melakukan politik serampang banyak mata.
Terdapat juga yang menyuarakan pandangan mengatakan Pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilihat ‘memperolok-olokkan’ sistem demokrasi yang dipaksikan dengan pilihan raya yang bebas, adil dan pengundi yang mendapat maklumat secukupnya.
Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun di bawah Akta 342 kepada Barisan Nasional pada kerana telah melanggar SOP Fasa 4 PPN bagi penganjuran majlis sosial.
Bagaimana pula kompaun RM10,000 sahaja yang dikenakan kepada Barisan Nasional kerana menganjurkan majlis sosial yang dilihat satu tindakan yang tidak serius. Pihak berkuasa boleh sahaja membatalkan perhimpunan tetapi kenapa dibiarkan sampai habis.
Kedua, demokrasi bersifat permusuhan. Mereka yang berbeza pandangan akan dipandang musuh. Kelaziman hegemoninya kalau pembelaan orang Melayu adalah hak Umno dan representasi Islam diwakili Pas.
Jika terdapat parti, kumpulan atau pihak lain yang mempunyai pandangan berbeza mengenai hak orang Melayu dan pendekatan mengenai Islam misalnya, pandangan itu tidak dibenarkan.
Wacananya DAP tidak boleh berada dalam mana-mana komponen parti kerana anti-Melayu dan Datuk Seri Anwar tidak boleh menjadi PM sampai bila-bila sehingga sampai ke tahap anti DAP dan anti Anwar. Mereka dianggap musuh kepada parti arus utama Melayu dan Islam.
Ini kerana demokrasi adalah permainan pertentangan antara kekitaan dan keganjilan. Kekitaan ini dianggap kelaziman dan kebiasaan dan selain itu dianggap keganjilan yang tidak boleh dipertemukan dalam kekitaan baharu yang ingin dihadirkan.
Itulah kenapa dalam demokrasi yang bersifat permusuhan sensitiviti kaum sentiasa dipolitikkan untuk kepentingan dan survival mereka yang berkuasa.
Media sosial dipandang sebagai ruang pertentangan tempat berlangsungnya pertarungan antara kekitaan untuk mencapai hegemoni tersebut. Ruang siber seharusnya menjadi medan perdebatan awam yang sihat dan bukan medan fitnah, manipulasi dan pertarungan idea yang monopolistik.
Ketiga, demokrasi autonomi iaitu mewujudkam autonomi kawasan Dewan Undangan Negeri atau Parlimen yang juga berlaku pada tingkat individu dan kelompok.
Demokrasi ini juga bertujuan memastikan parti pemerintah atau yang pernah menjadi pemerintah tetapi kalah dalam pilihan raya lalu seperti UBN kekal memegang autonomi abadi.
Inilah yang berlaku dalam PRN Melaka di mana Umno mahu bertarung secara sendiri dan menjadi pemegang taruh utama atau tunggal di Melaka. Umno yakin kepada autonomi abadi ini. Parti-parti lain termasuk Bersatu harus berada di bawah payung Umno.
Keempat, demokrasi tiada tandingan yang tidak bersandar kepada keyakinan pihak lain boleh menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat. Tiada parti politik yang boleh memastikan kesejahteraan rakyat melainkan parti pemerintah seperi Umno dan Barisan Nasional.
Rakyat harus diyakinkan bahawa UBN sahaja yang dapat memberikan kemakmuran kepada rakyat walaupun kes-kes rasua dalam kalangan ahli politik telah dihadap dan diputuskan di mahkamah.
Keempat-empat kecenderungan demokrasi terpilih iaitu demokrasi penghujahan, demokrasi bersifat permusuhan, demokrasi autonomi dan demokrasi tandingan dapat diubah kepada positif seperti demokrasi menggalakkan ruang awam dalam hak bersuara tidak menggunakan alasan undang-undang bagi menyekatnya, demokrasi beranggapan pihak berlawan bukannya musuh sebagai suatu kelaziman dalam amalan demokrasi yang matang dan jika mereka menang itu adalah hak rakyat yang memilih.
Dalam hal ini tiada usaha-usaha belakang tabir menggugat kerajaan mandate rakyat. Begitu juga demokrasi dengan hak penguasaan autonomi tidak seharusnya menjadi monopoli satu golongan sahaja.
Begitu juga dengan tandingan dalam demokrasi harus membuka ruang kepada pihak lain untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukan diboloti oleh satu gabungan atau pakatan politik sahaja.
Kolumnis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)