Malaysia menamatkan penyertaan dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS 2025 dengan satu mesej tegas bahawa dunia perlu bertindak secara menyeluruh terhadap isu kesihatan global, keadilan iklim dan pembiayaan mampan.
Dalam sesi intervensi terakhir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak pendekatan silo yang terasing dalam menangani cabaran global.
“Akses saksama kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang berdaya tahan serta kawal selia rantaian bekalan ubat adalah isu keselamatan antarabangsa. Kegagalan dalam aspek ini boleh mencetuskan ketidaktentuan serantau dan menggugat pembangunan mampan sejagat,” katanya.
Sokong Inisiatif BRICS Perangi Ketidaksaksamaan Kesihatan
Malaysia menyambut baik pelancaran inisiatif BRICS Partnership for the Elimination of Socially Determined Diseases, yang mengiktiraf bahawa penyakit tidak boleh dihapuskan tanpa menangani akar ketidaksaksamaan sosial dan kemiskinan struktural.
Malaysia turut menyambut baik pelancaran inisiatif BRICS Partnership for the Elimination of Socially Determined Diseases, yang menurut Anwar merupakan pengiktirafan terhadap punca sebenar penyakit iaitu ketidaksaksamaan sosial dan kemiskinan struktural.
Dalam isu perubahan iklim, Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia kepada peralihan karbon rendah secara adil dan kredibel melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP), dengan sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa usaha tersebut tidak akan berjaya tanpa pembiayaan yang mencukupi.
“Pembiayaan iklim hari ini masih terlalu jauh daripada mencukupi, terutamanya bagi negara membangun yang terdedah kepada risiko iklim berganda,” ujar beliau.
Malaysia menyokong Kerangka Pembiayaan Iklim oleh BRICS, tetapi menuntut instrumen yang berkesan dan akses saksama kepada dana konsesi.
ASEAN 2025: Malaysia Mahu Asia Tenggara Jadi Hab Hijau
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menerajui usaha memperluas pembiayaan hijau, menyelaras piawaian dan menjadikan rantau ini sebagai pusat pelaburan mampan.
“Saya menyeru agar COP30 di Belém, Brazil menjadi detik peralihan sebenar daripada retorik kepada pelaksanaan.
Keadilan iklim bukan hanya tentang niat, ia tentang agihan modal, pengurusan risiko dan tanggungjawab kolektif. Masa untuk berhujah telah berakhir,” tegas Perdana Menteri.
Diplomasi Dua Hala Diperkukuh
Di sela-sela sidang, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala bersama:
• Presiden Indonesia,
• Presiden Chile,
• Premier China,
• Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan,
• Menteri Luar Rusia,
• Menteri Luar UAE, dan
• Menteri Luar Republik Islam Iran.
Pertemuan ini memperkukuh hubungan dalam sektor perdagangan, tenaga, kesihatan dan teknologi, selain mengangkat Malaysia sebagai rakan strategik yang berprinsip dalam landskap geopolitik dunia.
Baca juga: Riena Diana akui ‘koyak’, tak jadi tutup akaun Instagram lepas netizen mohon maaf