Malaysia kehilangan ikon dengan perginya seniman Mamat Khalid

Oleh BORHAN AHMAD

Malaysia kehilangan satu ikon dan institusi apabila penerbit dan pengarah tersohor, Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River, Perak 12.30 pagi tadi.

Antara karya hebat pengarah tersohor itu adalah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Rock, 16 Puasa dan Hantu Kak Limah yang dikira membawa bentuk tersendiri dalam filem di Malaysia.

Pemergian seniman istimewa ini disahkan Setiausaha Agung Persatuan Seniman, Hafiz Nafiah.

Allahyarham difahamkan pengsan di restorannya, Sarang Art Hub sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

“Allahyarham pengsan di Sarang Hub, tempat dia dan dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

“Maklumat awal yang kami dapat, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Ipoh esok,” katanya.

Pemergian Mamat Khalid bukan saja bermakna kita kehilangan individu tapi kita kehilangan institusi.
“Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa almarhum,” kata facebooker terkenal, Dr Mohamed Hadi AH.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid menghembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 58 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.