Masih percaya paracetamol boleh rosakkan buah pinggang? Baca penjelasan pengasas klinik ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Orang ramai pasti pernah mendengar dakwaan bahawa pengambilan paracetamol boleh menyebabkan kerosakan kepada organ manusia iaitu buah pinggang.

Malah ubat yang sering digunakan untuk merawat gejala demam itu juga dikatakan bertoksik selain akan kekal berada di dalam tubuh sekurang-kurangnya lima tahun.

Tampil ‘memecahkan mitos’, pegawai perubatan dikenali sebagai Dr Ahmad Samhan memuat naik hantaran di platform X menjelaskan fakta sebenar mengenai ubat itu.

Menurut Dr Samhan, paracetamol merupakan ubat tahan sakit yang paling selamat untuk digunakan terutamanya buat kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas.

Ubat yang sesuai juga dimakan oleh ibu menyusu itu tidak akan merosakkan organ dalaman seperti buah pinggang atau hati jika diambil di dalam dos yang disarankan.

“Saya sering ditanya oleh pesakit yang enggan makan ubat panadol (salah satu jenis paracetamol) sebab risaukan risikonya. Takut membahayakan untuk badan. Jadi hari ini saya kongsikan ilmu yang betul mengenainya.

“Panadol hanya berada dalam tubuh badan selama empat hingga enam jam sahaja. Kemudian, manusia akan mengalami proses penghadaman. Diakui juga paracetamol mempunyai kesan sampingan lain.

“Sebagai contohnya alahan, loya dan sebagainya. Tetapi ia jarang berlaku. Ubat ini juga selamat digunakan untuk pesakit yang mengalami masalah pembekuan darah, gastritis, kanak-kanak, ibu hamil atau menyusu,” ciapnya.

Dalam hantaran yang sama, pakar perubatan swasta yang kini bergelar personaliti media sosial itu turut berkongsi dos disarankan mengikut jenis dan umur pesakit.

  • Pesakit dewasa – Dua biji setiap enam hingga lapan jam sekali (maksima 4 gram sehari).
  • Pesakit kanak-kanak – Dos sirap paracetamol yang sesuai adalah 15 miligram (mg) per kilogram (kg) berat badan dalam enam hingga lapan jam (tiga hingga empat kali) sehari.
  • Paracetamol jenis Suppositories – Dikenali sebagai ubat peluru (masuk rektum) dan dosnya pula 30mg per kg setiap enam jam sekali (maksimum 5g sehari).
  • Jenis intravenous – diberikan secara infusi sebanyak 1g sahaja dalam masa 15 minit minimum tidak kurang dari empat jam sekali (maksimum 4g sehari).

“Dos minimun yang boleh menyebabkan kesan toksik paracetamol adalah 7.5 hingga 10g atau 20 biji dalam satu dos pengambilan bagi pesakit dewasa. Manakala untuk kanak-kanak enam tahun ke bawah adalah 200mg/kg dalam satu dos.” Jelas pengasas klinik Forhim itu.

Baca juga: Baru tahu daun durian belanda boleh legakan sakit pinggang dan buasir, ini cara penggunaannya