Mat Sabu tanya Anwar: Betulkah PH seolah-olah tidak lagi jadi pembangkang?

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa biarpun persefahaman telah dimeterai antara Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan, bukan semua keputusan kerajaan akan dipersetujui.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang membangkitkan pertanyaan sama ada pembangkang selepas ini akan bersetuju dengan semua tindakan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk pelantikan menteri dan bertaraf menteri yang ramai.

“Di luar sana mengatakan PH akan setuju semua dengan kerajaan di bawah pimpinan (Ahli Parlimen) Bera termasuk pimpinan menteri yang begitu ramai, jawatan bertaraf menteri pun ramai.

“Betulkah itu? (betulkah) kita setuju dengan semua yang kerajaan buat seolah-olah sudah tidak jadi pembangkang. Sebab kita mahukan kesejahteraan, maka kita setuju dengan semua kehendak mereka. Betulkah itu?,” soalnya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar kemudian menjawab dan menegaskan bahawa pembangkang akan terus berbincang dengan kerajaan dan beberapa perkara sudah dijelaskan bahawa pembangkang tetap tidak akan bersetuju dengan hal penyelewengan kuasa, dan rasuah berleluasa.

“Memorandum persefahaman diedar hari ini. Yang kita jelaskan, PH ada hal kita setuju dan tak setuju. Penyelewengan kuasa, rasuah yang kita bangkitkan dan banyak lagi yang kita bantah.

“Saya rasa penjelasan ini penting kerana dalam dokumen ini pun kita telah tegaskan peranan pembangkang,” katanya.

Beliau juga menjelaskan beberapa keliruan yang berlaku berhubung memorandum persefahaman dan andaian bahawa PH akan menyokong usul undi percaya terhadap perdana menteri.

“Dalam dokumen ini, kita tidak ada pengakuan untuk menyokong kalau ada usul percaya. Dari awal secara terbuka dalam pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong ialah penegasan adanya undi percaya dan Timbalan Agong juga menyebut (usul percaya) harus menjadi tajuk pertama sebelum Parlimen dibuka,” katanya lagi.