Seorang pelancong asing mengakui terkejut apabila hanya dikenakan caj sebanyak RM7.90 selepas memesan hidangan untuk dihantar ke bilik di sebuah hotel terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menurut lelaki terbabit, harga yang dikenakan itu sangat berbaloi malah bersamaan dengan sekitar £1 (pound Britain) sekiranya hidangan berkenaan dibayar dengan menggunakan mata wang negaranya.
Perkara itu didedahkan oleh pelancong terbabit menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun TikTok miliknya yang mana hidangan dipesannya turut dipaparkan dalam perkongsian tersebut.
Menerusi rakaman berdurasi 41 saat itu, dapat dilihat lelaki terbabit memesan dua hidangan sandwic di mana setiap pinggan disajikan bersama kentang goreng dalam jumlah yang banyak, sedikit salad dan dua jenis sos pencicah.
Difahamkan, harga RM7.90 itu dikenakan untuk setiap set sandwic yang bermakna pelancong asing terbabit hanya perlu membuat bayaran berjumlah RM15.80 bagi kedua-dua hidangan tersebut.
“Saya baru guna room-service (servis bilik) di sebuah hotel yang agak mahal. Tetapi Ya Tuhan, tengoklah makanan ini. Sudah tentulah saya pesan dua hidangan, namun harganya hanya RM7.90 untuk setiap pinggan.
“Saya ingatkan hanya akan dapat sedikit makanan sahaja. Harganya hanya sekitar £1 untuk hotel yang mahal. Selalu kita ‘ketuk’ kalau makan di tempat macam ini. Saya tidak mengharap banyak.
“Tetapi kentangnya cukup rangup. Sandwic juga kelihatan selamat untuk dimakan. Saiznya agak besar dan dibakar dengan baik,” kata pelancong asing terbabit yang sempat memberikan ulasan mengenai rasa hidangan tersebut.
Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut sudah berjaya meraih tontonan daripada 173,400 penonton dengan rata-ratanya terutama rakyat Malaysia mengakui caj dikenakan turut mengejutkan mereka.
Ramai juga rakyat tempatan membanjiri ruangan komen perkongsian itu untuk bertanya di manakah lokasi hotel selain mengatakan hidangan sedemikian mungkin berharga RM20 sehingga RM30 setiap pinggan jika dibeli di restoran.

Baca juga: Tak sampai setahun beroperasi, kedai kopi Neelofa di Cyberjaya dah tutup?