Maxim dan InDrive diarah henti operasi kuat kuasa 24 Julai ini, didakwa langgar syarat perlesenan?

Oleh MALAYSIADATELINE

Dua aplikasi dari Russia yang menawarkan servis e-hailing iaitu InDrive dan Maxim telah diarah untuk menghentikan operasi mereka di Malaysia berkuat kuasa pada 24 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa surat untuk memberhentikan operasi sudah dihantar oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada dua aplikasi e-hailing tersebut, baru-baru ini.

Difahamkan menurut APAD, kedua-dua syarikat e-hailing berkenaan didapati telah melanggar syarat pelesenan di negara ini yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Perkara ini termasuklah memastikan semua kenderaan di bawah platform mereka beroperasi dengan Permit Kenderaan E-hailing (EVP) yang sah iaitu salah satu syarat utama dalam pemegang Lesen Pengendali Individu (IBL).

Pelanggaran itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 12D(1)(a) dalam akta tersebut yang memberi kuasa kepada agensi untuk membatalkan lesen mana-mana pengendali yang melanggar syarat-syaratnya.

Syarikat terbabit bagaimanapun boleh membuat rayuan namun semuanya terserah kepada Loke selaku Menteri Pengangkutan yang berhak untuk membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, lapor Berita Harian.

“Berkuat kuasa pada 24 Julai ini, operasi InDrive dan Maxim perlu dihentikan daripada beroperasi di negara ini. Dua syarikat e-hailing berkenaan masih boleh membuat rayuan.

“Namun rayuan itu hanya boleh diputuskan saya selaku Menteri Pengangkutan,” jelasnya memetik laporan Berita Harian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Semula Landasan untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Kempas Baru-Pasir Gudang.

Sebelum ini, Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) pada Isnin lalu menggesa kerajaan untuk menjalankan penguatkuasaan tegas terhadap dua aplikasi e-hailing berkenaan.

Tindakan itu termasuklah menyekat akses kepada Maxim dan Indrive kerana pihak Penghantar Malaysia mendapati aplikasi itu didapati terus menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.

Peraturan ini termasuklah tidak memastikan pemandu mereka memiliki lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah seperti mana telah diwajibkan undang-undang Malaysia.

Baca juga: Isu ‘influencer’, usahawan kosmetik terlibat dadah, polis Kelantan beri amaran, akan dedah bila cukup bukti