Md Yusof berhenti dari TH walaupun kontraknya tamat 3 tahun lagi

Oleh BORHAN AHMAD

Bekas Menteri Agama kerajaan Pakatan Harapan, Datuk Seri Mujahid Yusof menyifatkan Pengerusi Tabung Haji yang bersara semalam, Tan Sri Md Nor Yusof adalah antara arkitek pemulihan Tabung Haji.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Md Yusof adalah arkitek pemulihan Tabung Haji bersama Datuk Seri Zukri Samad yang dibawa oeh kerajaan PH untuk memulihkan Tabung Haji pada tahun 2018, selepas PH mengambil alih pentadbiran negara.

Menurut beliau, Md Nor telah bersara dari Pengerusi TH tiga tahun sebelum kontraknya tamat.

“3 tahun sebelum tamat kontrak TS Md Nor Yusof bersara dari Pengerusi TH.

“Beliau adalah arkitek pemulihan TH bersama DS Zukri,” tulis Mujahid mengulas perletakan jawatan Md Nor semalam.

Bagi Mujahid, Md Yusof seorang yang rendah diri, lembut bicaranya tetapi tegas menjalankan misi.

“Beliau boleh bangga TH sudah pulih dari kerenah sebelumnya,” kata Mujahid ketika mengulas persaraan Md Yusof.

Lembaga Tabung Haji (TH) semalam mengumumkan Tan Sri Md Nor Yusof telah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi TH berkuat kuasa semalam, 15 Oktober.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang menjawat jawatan itu, Md Nor telah memacu usaha-usaha penyusunan semula, perkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan TH sebagai organisasi Islam yang bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Menurut TH, jumlah deposit pada 30 Jun lepas ialah RM81.14 bilion, iaitu tahap tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun yang lalu, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan yang lebih tinggi daripada pendeposit.