Menjadi kebiasaan terutama pada bulan Ramadan, orang ramai akan membuat tempahan awal sekiranya mahu berbuka puasa di luar kerana bimbang restoran atau kedai makan dipenuhi pelanggan.
Namun begitu, terdapat juga segelintir peniaga yang tidak mengenakan sebarang deposit bagi setiap tempahan jadi apabila pelanggan gagal hadir seperti dijanjikan, peniaga boleh alami kerugian apabila makanan sudah terhidang.
Seorang peniaga makanan dan minuman (F&B) meluahkan rasa kecewa apabila berdepan situasi pelanggan yang sudah membuat tempahan namun tidak hadir tanpa sebarang makluman.
Menerusi satu perkongsian di laman Threads, peniaga dikenali sebagai Meks Lisa mengakui ada ketikanya dia berasa sangat ‘down’ apabila pelanggan yang membuat tempahan awal gagal muncul walaupun segala persiapan telah dilakukan dengan rapi.
“Pelanggan dah buat tempahan, meja dah siap susun cantik-cantik, makanan dah standby… tapi akhirnya tak datang,” kongsinya di Threads.
Menurutnya, setiap tempahan akan disiapkan dengan penuh komitmen kerana tidak mahu menghampakan pelanggan yang sudah memberi kepercayaan.
“Kadang rasa down sangat. Orang tak tahu, bila satu tempahan tak jadi, memang rasa kosong,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia turut memaklumkan keadaan perniagaan kini semakin mencabar apabila jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.
“Sekarang ni pula pelanggan makin kurang. Tiap hari buka kedai dengan harapan, tapi balik dengan rasa kosong,” luahnya.
Tambahnya, apa yang lebih memeritkan adalah apabila pelanggan tidak memaklumkan pembatalan lebih awal.
“Orang nampak meja penuh lauk atas gambar, tapi tak nampak risau di hati peniaga. Kami cuma harap satu je, kalau tak jadi datang, beritahu lah.
“Jangan biar kami tunggu dengan harapan. Bisnes F&B macam ni, satu tempahan pun sangat bermakna,” ujarnya lagi.
Rata-rata pengguna Threads menasihati kedai berkenaan untuk mengambil deposit dengan tempahan yang dibuat.
“Mesti ambil deposit RM50 ke RM100. Kalau mereka bayar, mereka akan datang. Tak ada deposit tak perlu sediakan makanan.
“2018 pernah kena. Tempahan melalui panggilan untuk 20 orang makan berbuka. Pukul 8 dia telefon balik cakap salah restoran. Sejak dari kejadian tu kita dah bijak sikit, booking perlu disertakan dengan bayaran.
“Bulan puasa ni, sangat disarankan kedai ambil tempahan dan terus bayar penuh bukan sekadar tempah dan bayar deposit sahaja,” antara komen pengguna Threads.
Baca juga: Perlantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan jaminan jadi calon Perdana Menteri – Muhyiddin