Melayang RM30,000! Lelaki terlupa ambil beg berisi duit atas but kereta

Oleh KIM SYAZIE

Siapa menyangka hanya kerana terlupa mampu mengakibatkan seorang lelaki kerugian hampir RM30,000.

Kejadian berlaku Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok pada 11 pagi, Khamis lalu.

Menurut Bernama, Wan Ibrahim Wan Leh mendakwa kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan.

Ibu kepada Wan Ibrahim, Che Safiah Abdullah memaklumkan anak yang berusia 24 tahun itu terlupa yang dia meletakkan beg kain berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic.

“Selepas kejadian itu, Wan Ibrahim mengalami kemurungan dan hanya berkurung di dalam bilik.

“Wang itu dikumpulnya sejak empat tahun lalu hasil pendapatan sebagai tukang gunting di bandar Jertih.

“Lebih menyedihkan Wan Ibrahim, wang itu untuk membeli kereta sendiri sebab kereta yang digunakan sekarang milik kakaknya.

“Dia juga mahu jelaskan hutang dan upah haji arwah bapa kandung dan bapa tirinya,” katanya seperti dipetik Bernama.

Che Safiah berkata anaknya yang masih bujang itu, meletakkan beg berisi wang tersebut di atas but kereta kerana terlebih dahulu mahu membersihkan bahagian dalam kereta.

Wan Ibrahim hanya menyedari wang itu terjatuh sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian dan cuba berpatah balik semula.

Ketika tiba, sudah ada beberapa orang awam membantu mengutip wang tersebut namun ada individu yang mengambil wang selebihnya.

“Orang awam yang membantu, menyerahkan balik wang kepada anak saya berjumlah sekitar RM30,000, namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil wang itu.

“Anak saya kemudian pergi membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut

“Kami berharap agar mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada keluarga saya,” katanya.

Che Safiah berkata kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kedai berhampiran.

Baca juga: Dulu projek juta-juta, kontraktor ini miskin sekelip mata selepas beristeri dua