Menang kejohanan Terbuka India, tindakan Izzuddin ketika penyampaian hadiah raih pujian

Oleh WAN SITI AMINAH

Beregu nombor satu negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei berjaya meriah gelaran juara Terbuka India berstatus Super 750 pada Ahad lalu sekali gus membawa pulang hadiah AS$70,300 atau sekitar RM316,797.

Gelaran juara diraih selepas beregu ranking kedua dunia itu menewaskan pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dengan mencatatkan kemenangan 21-15,13-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit.

Namun apa yang lebih mencuri perhatian ramai terutama pengguna media sosial tempatan adalah ‘aksi’ Izzuddin ketika sesi penyampaian hadiah untuk final Terbuka India berlangsung di New Delhi itu.

Menerusi satu rakaman yang dimuat naik di laman TikTok, Izzuddin dilihat sedang menunduk sebagai tanda hormat sebelum merapatkan kedua tangannya di dada ketika sesi penyampaian tersebut berlangsung.

Tindakan tersebut adalah salah satu tanda hormat sekali gus memberikan isyarat bahawa pemain badminton itu tidak mahu bersalaman dengan tetamu kehormat wanita yang ditugaskan untuk menyampaikan hadiah.

“Antara salah satu sebab gelaran ‘Din Masjid’ itu sesuai (dengan Izzuddin),” kata pemilik akaun TikTok yang memuat naik rakaman berdurasi 17 saat itu di platform media sosial berkenaan.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah mendapat sebanyak 122,700 tontonan daripada pengguna TikTok dengan rata-ratanya memuji tindakan Izzuddin kerana menjaga batasnya walaupun bergelar atlet bertaraf dunia.

Ramai juga pengguna meluahkan rasa kagum berikutan Izzuddin turut menjaga auratnya dalam perlawanan malah turut menunjukkan aksi yang hebat dengan meraih gelaran juara dalam kejohanan Terbuka India itu.

“Walau sudah terpahat sebagai salah satu pemain terbaik dunia, ADAB jugalah yang dituntut. Alhamdulillah, begitu timggi dan mulianya seseorang itu apabila ADAB juga dipelihara,” kata seorang pengguna.

“Rasa kagum dengan Izzuddin. Pakaian pun sudah tutup aurat. Teruskan macam itu, Insya-Allah, berjaya.” Kongsi pengguna lain apabila melihat penampilan pemain itu ketika beraksi.

Baca juga: Sudah lama tinggalkan dunia seni, Raja Dangdut kini aktif berdakwah, dapat tauliah JAIS