Seorang lelaki tidak menyangka, isteri yang disayanginya sanggup mengkhianati ikatan suci perkahwinan mereka selepas setahun berumah tangga.
Lebih memburukkan keadaan, orang ketiga dalam rumah tangga lelaki itu baru sahaja membeli sebuah kediaman yang terletak berdekatan dengan tempat tinggal mereka.
Nekad memilih jalan ‘masing-masing’, berikut adalah perkongsian lelaki yang nekad menceraikan isterinya selepas mengetahui sisi gelap wanita dikahwininya itu.
“Nama aku H, berumur 29 tahun dan sekarang menetap di selatan tanah air. Kahwin dengan seorang perempuan berusia 27 tahun yang aku kenali dari sekolah lagi. Kami menikah pada tahun 2023, masih belum dikurniakan cahaya mata. Insya-Allah, satu hari nanti. Kejadian berlaku baru-baru ini sejak aku mula sibuk dengan perniagaan.
“Kerja hakiki aku pada hari biasa adalah pegawai eksekutif pemasaran di syarikat pembuatan. Hujung minggu, aku akan buka kedai sendiri. Pekerja yang aku gajikan pula akan jaga kedai pada hari biasa. Bermula dengan sebuah lot kecil di kawasan tersorok, sekarang sudah ada kedai besar untuk perniagaan yang aku usahakan.
“Walaupun sekadar sambilan, tetapi keuntungan ini boleh tampung keperluan harian yang aku boleh katakan memberi keselesaan kepada kami berdua suami isteri. Tetapi nak dijadikan cerita, satu hari isteri aku ambil cuti kecemasan. Katanya demam. Jadi aku balik jugalah untuk jaga isteri walaupun dia okay sahaja suaminya ini tiada.
“Sampai sahaja di rumah, aku tengok isteri sudah tidur dalam bilik. Mak mentua aku cakap isteri terus tidur dalam bilik selepas makan ubat. Ya, aku tinggal bersama mak mentua sebab rumah kami baru sahaja dapat kunci. Jadi banyak hal kena selesaikan dahulu. Selepas tengok isteri tidur, aku kemas-kemas sedikit. Ingat nak baring sekali.
“Tetapi apabila aku baring, nampak telefon isteri dekat tangan dia. Memandangkan dia tidur, aku cuba alihkan sebab nak letak atas meja solek. Dapat sahaja aku capai telefon itu, tiba-tiba skrin menyala. Masuk notifikasi Whatsapp. Menggelegaklah hati aku selepas nampak pesanan mesej bertulis, ‘jaga diri baby, makan ubat tau sayang’.
“Mesej itu bukan aku hantar, nama yang diletakkan juga berbeza. Bertambahlah hati aku menggelegak selepas baca semua perbualan dalam mesej itu. Dalam satu hari itu sahaja, isteri sudah hantar 13 gambar kepada penghantar pesanan tersebut iaitu seorang lelaki. Dalam kereta, lif, tandas. Termasuklah gambar yang tak bertudung.
“Aku baca perbualan mereka dari pagi sampai pukul 4 petang. Allahhu, retak hati aku selepas baca. Semuanya perkara tak senonoh. Aku tak kuat nak teruskan. Salah satu gambar yang isteri hantar kepada lelaki itu adalah bahagian belahan dadanya. Isteri ambil dalam tandas. Menggigil tangan aku baca perbualan mereka untuk hari itu.
“Aku memang selalu juga periksa telefon isteri tetapi tak pernah pula nampak mesej seperti itu. Perbualan terakhir mereka adalah pada tahun 2022. Rupanya inilah kerja isteri, dia akan padam perbualan mereka sebelum balik ke rumah. Aku simpan semua tangkap layar perbualan itu. Kemudian, masukkan ke dalam telefon aku.
“Selesai sahaja bongkar Whatsapp isteri, aku buka galeri gambar dia. Untuk hari itu sahaja, berpuluh gambar tak pakai baju dalam tandas pejabat yang isteri aku ambil. Rupanya ada banyak lagi gambar macam itu. Kalau diingat semula, isteri tak pernah hantar walaupun sekeping gambar seperti itu dekat aku ketika di pejabat.
“Ya Allah, apakah ujian kau kali ini. Selesai Solat Maghrib, aku ajaklah isteri duduk di katil. Aku tanya tentang kesihatan dia. Katanya masih demam, mungkin esok nak cuti sakit pula. Aku hanya cakap, kalau tak larat duduk sahaja di rumah. Selepas itu, aku terus ajukan soalan mengenai perbualan Whatsapp itu. Pucat terus muka isteri.
“Bermulalah drama air mata. Aku minta isteri berterus terang mengenai berapa lama dia buat kerja seperti itu. Mulanya jawapan isteri, baru-baru ini sahaja. Dia menuduh lelaki itu yang memujuk rayu. Tetapi tak akan berbunyilah kalau tangan itu bertepuk sebelah sahaja. Aku sangkal jawapan isteri mengatakan perkara ini baru berlaku.
“Semakin banyak disangkal, semakin bertambah pula versi cerita isteri. Aku keraskan suara sehingga boleh didengar dari luar. Tersentak isteri, terdiam kaku dan linangam air matanya masih deras. Selepas itu, barulah dia ceritakan semuanya. Aku dengar tanpa reaksi. Rupanya banyak perkara yang isteri buat di belakang aku.
“Bertukar gambar dan perbualan tak senonoh, rancangan untuk bermalam bersama, nak bertemu janji waktu makan tengah hari dan banyak lagi. Sementara isteri cerita, aku selongkar lagi telefon miliknya. Banyaklah rakaman suara kami ‘bersama’. Paling menyedihkan., kedengaran nama lelaki itu. Ya Allah, dugaan apakah ini. Allahuuuu.
“Aku bertanyakan kepada isteri, berapa kali dia berjumpa dengan lelaki itu. Katanya, belum pernah lagi. Sebabnya mereka bekerja berlainan daerah, jadi agar sukar untuk berjumpa. Semua jawapan yang isteri berikan, sukar buat aku percaya. Aku teruskan lagi. Tanya sekiranya ada perkara lain yang isteri sorokkan daripada aku.
“Ister bercerita pula tentang rumah baru kami. Rupanya lelaki itu ada beli rumah yang sama, lokasi yang sama dengan kediaman kami. Allahuu, terduduk lagilah aku. Sepi, menitis lemah air mata aku. Mereka sudah lama rancang, aku yang lalai. Selepas itu, semakin kuat isteri aku menangis. Boleh didengar daripada balik pintu bilik kami.
“Aku seorang lelaki yang panas baran, tetapi tak tahu datang dari mana ketenangan dalam diri semasa bertanyakan semua perkara ini kepada isteri. Kemudian aku mula bangun dari katil dan menuju ke almari. Aku capai beg galas dan masukkan semua pakaian serta keperluan ke dalamnya. Merayu-rayu isteri aku minta dimaafkan.
“Isteri cuba menahan aku dari meninggalkan rumah. Teriakan isteri mula kedengaran sampai ke luar, sehinggakan mak mentua mengetuk pintu bertanyakan apa hal yang terjadi dalam bilik kami. Aku menuju lemah ke pintu bilik, membuka pintu untuk mak mentua melihat keadaan di dalam bilik. Tiada kata dari mulutku waktu itu.
“Yang ada, hanyalah rayuan teriakan isteri memohon dimaafkan dan meminta ibunya menghalang aku keluar dari rumah meninggalkan dia. Berulang kali mak mentua aku bertanyakan soalan tentang apa yang terjadi, namun hanyalah dibalas sepi olehku. Selesai mengemas pakaian, aku berangkat keluar daripada bilik kami berdua.
“Tetapi sebelum keluar, aku ke meja solek. Cabut cincin nikah aku dan buang dalam tong sampah kecil di tepi meja tersebut. Semakin deras tangisan, isteri. Tetapi kaki tetap melangkah dan pergi ke rumah bujang milik kawanku. Sehingga kini, aku masih di rumah kawan. Hari ini aku pergi ke pejabat agama.
“Tujuannya adalah untuk menyelesaikan isu perceraian kami berdua. Prosedur tetap prosedur. Doakan kekuatan untuk aku menghadapi semua ini.” Kongsi H (Bukan nama sebenar) menerusi satu perkongsian tular di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Melopong tengok resit, tular kedai di ibu kota caj RM16 untuk secawan milo ais