Meninggal dunia lepas keluar berdakwah 40 hari, video kisah penghijrahan Jojo kembali tular

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemergian bekas anggota kumpulan rap, One Nation Emcees (ONE) iaitu Jojo ketika mengikuti program Ijtimak Dakwah di Masjid Jamek Sri Petaling pada pagi Ahad lalu masih menjadi topik perbincangan di media sosial.

Hal ini berikutan perjalanan penghijrahan pemilik nama sebenar Nur Hasan Balas sebelum dijemput Ilahi itu telah menimbulkan kekaguman orang ramai yang menyifatkan pemergiannya sebagai kematian dicemburui.

Malah Jojo juga sempat keluar berdakwah selama 40 hari sebelum mengikuti program Ijtimak Dakwah di masjid itu dan menghembuskan nafas terakhirnya selepas tiba-tiba rebah susulan pembacaan doa penutup majlis tersebut.

Pada sekitar tahun 2020, Jojo pernah mendedahkan kisah penghijrahannya di dalam satu program dan sedutan dari rakaman berkenaan kembali tular di media sosial selepas laporan pemergiannya diterbitkan.

Dalam rakaman berdurasi satu minit 41 saat yang dimuat naik di platform TikTok itu, Jojo menceritakan bagaimana dirinya mendapat hidayah dan berjaya menemui makna ketenangan sebenar menerusi ibadat solat.

Allahyarham Jojo juga mengakui bahawa sudut pandangannya terhadap kebahagiaan di dunia selama ini terutamanya mengenai rezeki juga berubah selepas mula berhijrah ke jalan yang diredai ALLAH SWT.

“Mungkin ALLAH berikan hidayah pada masa itu sebab ada kebaikan dalam diri saya. Rasa tenang dan bahagia. Sejak itu saya tak risau tentang duit di dalam poket. Ada RM5 pun saya sudah gembira.

“Kalau tidak dahulu, tiada RM5,000 sebulan pun saya sudah risau. Sekarang saya mencari ketenangan dan kebahagiaan adalah dengan solat sahaja,” katanya dalam rakaman tersebut.

Dalam perkongsian yang sama, Jojo turut menekankan mengenai kepentingan ibadat solat walaupun seseorang itu pada awalnya tidak melakukannya dengan sebarang keikhlasan.

Jelasnya, orang ramai tidak perlu takut untuk memulakan langkah penghijrahan dengan menunaikan solat walau jahil manapun seseorang itu sehinggalah Allah memberi keikhlasan dan membuka pintu ke jalan yang benar.

“Orang kata tunggu ikhlas dulu, baru boleh sembahyang. Tetapi sebenarnya, ikhlas atau tidak. Kita kena solat. Lama-kelamaan, ALLAH akan berikan keikhlasan. Walaupun jahil macam mana sekalipun, solat dulu.

“Apabila kita terus belajar, satu hari ALLAH beri keikhlasan. ALLAH akan jauhkan kita daripada perkara yang mungkar. Jangan takut, ALLAH pasti akan buka jalan. Macam mana kita berdikari untuk hidup, begitulah juga solat.” Ujarnya.

Sekadar info, Allahyarham Jojo yang berasal dari Sabah itu sudah berkahwin dan menetap di Taiping, Perak serta turut menjadi bilal di Masjid Hanafi yang terletak di daerah berkenaan.

Baca juga: Penyanyi lagenda Zaiton Sameon kini jual sambal petai