Menitik air mata tengok si ayah peluk erat anak perempuan di luar sel penjara

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah rakaman menyayat hati yang memaparkan seorang ayah memeluk erat anak gadisnya tular di media sosial baru-baru ini.

Berjaya menarik perhatian orang ramai, lelaki itu sebenarnya adalah seorang tahanan di sebuah penjara di Jambi, Indonesia.

Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, lelaki yang bernama Aceng itu tekun melayani keletah manja anak gadisnya.

“Cinta pertamanya anak perempuan,” tulis kapsyen video yang dimuat naik akaun bernama @undercover.id melalui laman Instagram.

Kedua beranak itu dikatakan hanya berkomunikasi di sebalik tirai besi sebelum anaknya dibenarkan masuk ke dalam.

Difahamkan, salah seorang petugas yang bersimpati kemudian telah membuka pintu sel Aceng untuk sementara waktu.

Namun begitu, akaun tersebut tidak memberi maklumat lanjut mengenai situasi sebenar atau kesalahan bapa tersebut.

Rata-rata warga maya yang menonton video tersebut meluahkan rasa terharu mereka dengan gelagat bapa dan anak gadisnya itu.

“Mungkin dia gagal menjadi orang baik, tetapi dia tidak gagal menjadi ayah,” tulis seorang pengguna.

“Seperti filem tapi bukan filem.” Komen pengguna lain.

Baca juga: Muka The Rock dipenuhi dengan gincu merah jambu, ini yang terjadi sebenarnya