Menjelang penubuhan Kabinet: Wanita PH gesa PM tubuh kementerian kanak-kanak

Oleh KIM SYAZIE

Wanita Pakatan Harapan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menubuhkan satu kementerian kanak-kanak agar hak dan suara mereka di seluruh negara tidak ditenggelami oleh isu-isu lain yang kebiasannya dibawa ke meja rundingan dalam mesyuarat Kabinet.

Wanita PH dalam satu kenyataan berkata, penubuhan satu kementerian khas itu akan memberi harapan kepada semua kanak-kanak bahawa keperluan mereka diberikan prioriti dan berada di pentas yang sama seiring dengan pelan-pelan pemulihan negara yang lain.

Jelasnya, kementerian berkenaan amat diperlukan susulan tragedi yang menimpa golongan rentan tersebut yang ramai ditinggalkan sebagai anak-anak yatim piatu setelah nyawa kedua ibubapa mereka diragut musibah Covid-19.

“Perhatian seorang Perdana Menteri tidak wajar hanya tertumpu kepada suara penduduk yang ada hak mengundi tetapi semestinya juga terhadap suara kanak-kanak.

“Suara kanak-kanak yang mendominasi populasi negara sebanyak 30 peratus harus diperuntukkan sekurang-kurangnya sebuah agensi kanak,” katanya.

Kenyataan itu juga mencadangkan agar seorang menteri wanita yang sensitif kepada isu gender, pro-keluarga dan pro-kanak-kanak untuk dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri.

Menurutnya, langkah pertama untuk mengangkat Keluarga Malaysia adalah bermula dengan pendekatan progresif, terbuka dan berwawasan yang mengutamakan suara dan hak kanak-kanak.

Wanita PH turut menzahirkan harapan agar usaha-usaha yang dimulakan selama 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dilaksanakan seperti lantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak yang pertama dalam sejarah Malaysia, dan pelancaran Sistem Semakan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak.

“Sekurang-kurangnya kami berharap Datuk Seri Ismail selaku Perdana Menteri akan meneruskan usaha PH untuk menubuhkan satu agensi kanak-kanak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadi satu kenyataan.

“Kurangkan juga penasihat-penasihat bertaraf menteri.

“Jika seorang pemimpin wanita dapat mengetuai tiga kementerian iaitu Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Tenaga di bawah satu payung, maka tiada masalah untuk satu kementerian yang khusus menjaga hal ehwal kanak-kanak ditubuhkan secepat mungkin dan dianggotai oleh pakar-pakar membuat dasar dan polisi untuk
kemaslahatan golongan ini,” ujarnya.